Berita UtamaDunia

50 juta penduduk benua Afrika kini miskin tegar?

COVID-19 lumpuhkan ekonomi negara, 30 juta hilang pekerjaan

JOHANNESBURG, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Hampir 50 juta penduduk di benua Afrika dijangka memasuki kelompok miskin tegar, berikutan kejatuhan ekonomi susulan penularan wabak COVID-19, kata Bank Pembangunan Afrika (AfDB).

Kira-kira satu pertiga benua – 425 juta orang – dijangka hidup di bawah garis kemiskinan antarabangsa dengan pendapatan sebanyak $1.90 sehari pada tahun 2020, kata AfDB dalam Prospek Ekonomi Afrika, meramalkan bahawa keadaan akan semakin buruk.

Selepas Oceania, Afrika adalah benua yang paling tidak terjejas dengan wabak ini, mencatatkan hampir 500,000 jangkitan dan hampir 11,700 kematian, menurut jumlah AFP pada hari Selasa.

Tetapi, krisis kesihatan dan perintah berkurung yang berlaku telah menghancurkan pekerjaan, melumpuhkan pendapatan dan ekonomi di seluruh benua.

“Antara 28.2 dan 49.2 juta lebih penduduk Afrika akan jatuh ke dalam kemiskinan yang melampau tahun ini dan berikutnya,” kata AfDB dalam laporannya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, bahawa sehingga 190,000 orang boleh mati di Afrika jika pembendungan COVID-19 gagal.

Institusi yang berpangkalan di Abidjan, salah satu daripada lima pemberi pinjaman pembangunan pelbagai hala terbesar di dunia, menjangkakan Afrika akan mengalami kemelesetan besar, dengan perkiraan KDNK menurun antara 1.7 peratus dan 3.4 peratus tahun ini.

Itu akan menjadi 5.6 hingga 7.3 peratusan lebih rendah daripada ramalan prawabak.

Akhir bulan lalu, Dana Monetari Antarabangsa meramalkan, KDNK sub-Sahara Afrika akan menyusut sebanyak 3.2 peratus, dan pendapatan akan turun ke tahap yang terakhir dilihat pada tahun 2010.

AfDB mengatakan, bahawa antara 24.6 dan 30 juta penduduk akan hilang pekerjaan tahun ini kerana krisis wabak.

Nigeria, negara yang paling ramai penduduk di benua itu, akan menyaksikan peningkatan kemiskinan terbesar, katanya.

Antara 8.5 dan 11.5 juta daripada 200 juta penduduknya dianggarkan jatuh dalam kemiskinan yang melampau tahun ini, kerana penurunan harga minyak memburukkan lagi kesan ekonomi dari wabak tersebut.

Manakala, Republik Demokratik Kongo, di mana 72 peratus daripada 90 juta penduduk sudah hidup di bawah garis kemiskinan, akan menyaksikan antara 2.7 dan 3.4 juta lebih rakyat yang miskin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button