Berita Utama

Perkasakan TVET seiring revolusi industri 4.0

Kongres Nasional 2021 komited selesai isu generasi anak muda profesional

BANGI, 6 Safar 1443H, Isnin – Kerajaan digesa memperkasakan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang sangat diperlukan dalam membina kemahiran berkualiti sering permintaan industri hari ini.

Pengarah Kongres Nasional 2021, Azrul Azham berkata, anak muda perlu diberi peluang bergiat dalam dunia TVET bagi membina kemahiran yang berkualiti.

“Dalam meraikan kehadiran revolusi industri 4.0 (IR4.0) kita juga mesti sedar bahawa kepakaran sangat dititik beratkan demi kebolehpasaran individu tersebut.

“Oleh itu, aspek penghasilan graduan yang berkualiti perlu dititikberatkan oleh semua pihak pengurusan sektor pengajian, berbanding isu kuantiti yang hanya melibatkan perniagaan pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba yang menyatakan kebimbangan terhadap kekurangan pekerja berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan industri.

Azrul menjelaskan, saat ini, ramai anak muda yang diberhentikan, kerana golongan ini dianggap “newbie” dan masih mentah dalam industri.

Dakwa beliau, bagaimana mahu melahirkan generasi anak muda profesional jika dari awal mereka telah diketepikan.

Seharusnya tegas Azrul, anak muda perlu diberikan pendedahan kerjaya seawal peringkat sekolah bagi memupuk minat mendalam terhadap kerjaya yang ingin diceburi.

Justeru, pihak Kementerian Pengajian Tinggi perlu memainkan peranan penting dalam memberi solusi kepada universiti awam mahupun swasta dalam menyelesaikan isu ini.

“Semua pihak mesti berusaha memberikan tunjuk ajar dan peluang kepada anak muda yang menyertai industri demi pembangunan jangka masa panjang dan misi melahirkan generasi muda profesional,” katanya.

Sehubungan itu, 200 pemikir muda menganjurkan Kongres Nasional 2021 yang akan memberi cadangan solusi kepada kerajaan dalam menanganisi isu berkenaan.

Kemuncak kongres pada 16 September ini akan menampilkan pakar semua sektor bersama 200 pemikir muda dalam usaha mencari solusi dan seiring misi utama mahu melahirkan generasi anak muda berilmu demi mendepani cabaran kepesatan pembangunan teknologi global.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button