Fahmi Fadzil tak patriotik bela Al Jazeera serang Malaysia
Pemimpin PKR patut bangkit lawan kebobrokan media asing
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Demi kebebasan mutlak yang diagungkan demokrasi Barat, Ahli Parlimen PKR, Fahmi Fadzil sanggup membidas mereka yang memberi tekanan kepada Al Jazeera selepas agensi berita antarabangsa itu membuat laporan tidak tepat berkenaan cara kerajaan menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini.
Menyifatkan tindakan Fahmi sebagai tidak patriotik, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, sepatutnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memainkan peranan untuk menyelar laporan yang tidak benar itu.
“Dalam keadaan imej negara diserang oleh media luar, para barisan hadapan kita diburukkan dengan imej yang salah dan tidak benar
“… Fahmi sepatutnya menjadi orang pertama untuk bangkit melawan kebobrokan etika media sebegini. Tetapi Fahmi pilih untuk jadi tidak patriotik!,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, apa yang dilakukan Fahmi ini tidak menghairankan kerana kebanyakan pemimpin PKR memang diketahui umum amat selesa dengan etika kewartawanan yang sering kali memberi mereka buah tanggung kepada lawan politik.
Semalam, Fahmi dilaporkan, meluahkan rasa kesal dengan tindakan memberi tekanan kepada warga media termasuk yang terkini melibatkan Al Jazeera.
Beliau berkata, media perlu memainkan peranan untuk melaporkan berita dengan bebas selagi ia tidak menerbitkan berita palsu dan tidak sahih.
Malah beliau turut menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak, segera meyakinkan pengamal media bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan antimedia dan antikebebasan bersuara.