Jangan tinggal selawat ke atas Nabi
Allah SWT muliakan kedudukan di akhirat jika perbanyak selawat

1. DALAM sebuah hadis, Rasulullah ﷺ menjelaskan bahawa selawat yang kita bacakan buat Baginda Nabi ﷺ akan disampaikan kepada Nabi ﷺ sendiri. Dalam erti kata yang lain, Baginda ﷺ tahu kita berselawat. Sabda Rasulullah ﷺ :
وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتكُمْ تبلغني حَيْثُ كُنْتُم
“Dan berselawatlah ke atasku. Sesungguhnya selawatmu itu akan sampai kepadaku di mana jua kamu berada,” (Sunan Abu Daud – dinilai sanad yang Sahih oleh Ibn Hajar)
2. Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam Mula Ali al-Qari menukilkan pada pandangan al-Imam al-Tiibi yang seakan menjelaskan bahawa para malaikat menyampaikan kepada Baginda ﷺ tentang selawat yang dibacakan buat dirinya. (Fayd al-Qadir)
3. Begitulah hebatnya kedudukan selawat ke atas Nabi ﷺ . Dalam al-Quran sendiri menjelaskan bagaimana Allah SWT dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi ﷺ .
4. Malah mereka yang memperbanyakkan selawat ke atas Nabi ﷺ akan mendapat kedudukan yang dimuliakan di sisi Allah di akhirat kelak. Sabda Rasulullah ﷺ :
أولى النَّاس بي يوم القيامة أكثرُهم عليَّ صلاةً
“Manusia yang paling utama di sisiku di hari akhirat kelak adalah yang paling banyak berselawat ke atas ku,” (HR al-Tirmizi – dinilai Hasan)
5. Dengan itu, perbanyakkanlah selawat ke atas Rasulullah ﷺ . Amalkanlah sunnah Baginda Nabi ﷺ sebagai tanda kasih kepada Rasulullah ﷺ .
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.