Berita Utama

Pasukan petugas khas kaji Kertas Putih Felda

Bertujuan tambah baik serta lengkapkan kekurangan laporan

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Pasukan Petugas Khas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) sedang mengkaji kaedah terbaik, yang antara lain bertujuan memperkasa tahap kewangan dan kelestarian organisasi itu, sekali gus memberi manfaat kepada peneroka.

Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh berkata kajian itu juga bertujuan bagi menambah baik serta melengkapkan kekurangan yang terdapat dalam Kertas Putih yang dibentangkan di Parlimen pada April tahun lepas.

“Banyak pihak melihat dan berpendapat Kertas Putih (sebelum ini) tidak mencukupi untuk mengatasi isu Felda. Itu sebab kami perlu membuat satu kajian untuk mendapatkan pandangan baharu,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara yang disiarkan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata hasil kajian itu dijangka akan diperoleh dalam satu hingga dua bulan dan kemudiannya akan dibentangkan ke Parlimen.

“Kami mendapat maklum balas daripada semua pemegang taruh termasuk daripada peneroka, generasi peneroka, bank serta pelabur untuk membentuk Model Baharu Felda yang lebih baik,” katanya.

Idris berkata perkara itu adalah hasrat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan Felda sentiasa mampan dan lebih berdikari pada masa akan datang.

Jelasnya Felda juga sedang melihat untuk menjadikan sekolah-sekolah di tanah rancangan itu sebagai sekolah pintar dalam usaha untuk menyediakan latihan pertanian lebih berkualiti kepada generasi baharu peneroka. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close