Berita Utama

‘PATI dihormati sebagai manusia’ doktor jawab tuduhan Al Jazeera

Dedah kerajaan tanggung semua kos,persekitaran berhawa dingin

BANGI, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Salah seorang doktor yang bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19, MAEPS Serdang tampil memperbetulkan dakwaan agensi berita antarabangsa, Al Jazeera berkenaan cara negara ini mengendalikan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam mengekang penularan pandemik berkenaan.

Dalam satu hantaran di Facebook, Dr Kenneth Wong Chen Fei menegaskan, Al Jazeera membuat dakwaan palsu dan tuduhan tidak wajar terhadap Malaysia mengenai pengurusan serta rawatan PATI.

Dr Kenneth yang berkhidmat selama lebih sebulan di pusat kuarantin berkata, beliau dan pasukannya telah merawat hampir 700 hingga 800 PATI di pusat berkenaan.

“Semua PATI dilayan dengan adil dan baik. Kami menghormati mereka sebagai manusia biasa. Tiga kali makan sehari. Setiap hidangan dilengkapi dengan sayur-sayuran, daging dan nasi.  

“Katilnya bagus dengan persekitaran berhawa dingin. Mereka masing-masing diberi pek, tuala, makanan kering percuma. Tidak ada yang dizalimi. 

“Semua diberi kebebasan untuk menunaikan solat sunat dan ke tandas. Ketika mereka keluar, semua diberi pakaian baru secara percuma,” katanya.

Bahkan, kata Dr Kenneth lagi, ada dalam kalangan PATI turut diberikan saringan COVID-19 secara percuma oleh kerajaan yang bernilai antara RM300 hingga RM400.

“Dapat makanan percuma, rawatan percuma, baju percuma. Semua kerajaan Malaysia tanggung! Apa lagi yang mereka mahukan?,” soalnya yang kesal dengan tuduhan Al Jazeera.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan, bahawa dakwaan Al-Jazeera menerusi laporannya tak berasas dan tidak betul – berita sepihak.

“Kami bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan berusaha sebaik mungkin dalam memerangi wabak COVID-19!,” katanya.

Dr Kenneth turut menggunakan tanda palang #kitajagakita dan #terusberjuang, bagi membuktikan keikhlasan kerajaan dalam menjaga keselamatan semua pihak

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, laporan yang dikeluarkan agensi berita itu yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap PATI adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan PDRM.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button