Berita Utama

Perak benarkan surau berdaftar MAIPk dibuka mulai Jumaat ini

Bilangan ahli solat Jumaat berasaskan had kapasiti dewan solat

IPOH, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan semua surau yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dibuka untuk solat Jumaat, bermula Jumaat ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Shahrul Azam Shaari berkata keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata surau di institusi pendidikan, kem tentera, berek Polis Diraja Malaysia, jabatan dan pejabat kerajaan juga dibenarkan mengadakan solat Jumaat jika mempunyai keluasan ruang solat sesuai serta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Bilangan ahli solat Jumaat di surau-surau berkaitan adalah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kehadiran menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau, pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia dan identiti jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak serta direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat.

Shahrul Azam berkata Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan senarai surau yang memenuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat serta syarat dan garis panduan yang perlu dipatuhi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close