Berita Utama

Rukun Negara tunjang keamanan, kemajuan Malaysia

Pegangan hidup rakyat berpaksikan kepada 5 prinsip Rukun Negara

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Tiada siapa dapat menidakkan pegangan hidup rakyat berpaksikan kepada lima prinsip Rukun Negara menjadi tunjang kepada keamanan, kemakmuran dan kemajuan, yang dikecapi Malaysia sehingga ke hari ini.

Tanggal 31 Ogos ini, genap separuh abad atau 50 tahun Rukun Negara dibentuk, selepas peristiwa 13 Mei 1969, dan peranan falsafah negara itu terus mekar sebagai tonggak perpaduan kaum dan keharmonian nasional, di Malaysia.

Bagi menyemarakkan nilai perpaduan dan penghayatan rakyat terhadap prinsip dan falsafah negara itu, Khamis ini (9 Julai), akan dilancarkan sambutan ulang tahun Jubli Emas pembentukan Rukun Negara sebagai pemacu peribadi murni rakyat, bagi membawa Malaysia terus gemilang pada tahun-tahun mendatang.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka melancarkan acara sambutan tersebut di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Sambutan itu juga bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2020, yang menjadi acara tahunan, bagi memperingati tarikh kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia.

Ini juga menjadi usaha berterusan bagi menyuburkan semangat dan jiwa seluruh rakyat Malaysia, yang sudah melalui pelbagai cabaran, onak dan duri, sejak Rukun Negara diisytiharkan pada 31 Ogos 1970.

Lima prinsip terkandung dalam Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

Ia menjadi asas yang perlu diikat kemas, bagi memastikan rakyat sentiasa menerima dan memahami kepelbagaian kaum, agama dan kepercayaan, yang terdapat di negara ini sebagai satu keistimewaan dan keunikan, yang perlu dipertahankan.

Terutama pada masa kini, apabila negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19, dengan kelembapan ekonomi dunia, menyebabkan negara berhadapan dengan cabaran lebih getir.

Situasi itu, memerlukan masyarakat agar sentiasa patuh dan berpegang kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara, bagi memastikan Malaysia terus dapat dibangunkan dengan semangat perpaduan dan kerukunan sebagai rakyat Malaysia.

Pada hakikatnya, asas utama wujudnya Rukun Negara adalah, untuk memperkukuh dan mengembalikan perpaduan kaum susulan peristiwa 13 Mei 1969, dan falsafah itu tidak boleh diketepikan, sebaliknya perlu terus diteliti dan dihayati sepenuhnya, oleh seluruh rakyat Malaysia.

Walaupun asas integrasi bukan asimilasi yang diamalkan di negara ini, dikatakan punca perpaduan tidak kukuh, namun jika setiap daripada kita berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara, perpecahan itu dapat dielakkan.

Buktinya, selepas diwujudkan Rukun Negara berikutan peristiwa pahit itu, negara masih berada dalam keadaan aman dan setiap pergeseran yang berlaku, dilenturkan dengan semangat Rukun Negara, menurut Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Mengambil semangat itu, pelancaran ulang tahun Rukun Negara ke-50, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Perpaduan Negara, itu akan diisi dengan pelbagai program menarik, bagi mengajak orang ramai untuk turut serta menghayati prinsip dan falsafah tersebut.

Pada majlis pelancaran itu, perdana menteri dijangka turut melancarkan logo sambutan 50 tahun Rukun Negara. Selain itu setem khas bertemakan “Lima Puluh Tahun” sempena sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara, juga akan dilancarkan.

Kemeriahan sambutan ini tidak akan memberi makna, jika rakyat tidak meletakkan Rukun Negara sebagai satu panduan sebaiknya, dan bukan sekadar dihafal di bibir sahaja.

Penjiwaan di sebalik Rukun Negara itu lebih penting, tidak kira siapa pun selagi kita masih rakyat Malaysia. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button