Sanggup Fahmi Fadzil gadai maruah demi Al Jazeera
Beliau patut bersolidariti bersama rakyat pertahankan imej negara
BANGI, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sanggahan Ahli Parlimen PKR, Fahmi Fadzil terhadap mereka yang memberi tekanan kepada Al Jazeera, selepas ia membuat laporan tidak benar berkenaan cara kerajaan menguruskan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini adalah tidak wajar.
Kesal dengan perkara itu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya mempersoalkan, keberadaan sifat sensitiviti Ahli Parlimen Lembah Pantai itu terhadap maruah negara akibat fitnah berkenaan.
“Tidakkah beliau turut bersolidariti bersama rakyat Malaysia mempertahankan imej negara daripada fitnah? Apakah kenyataan beliau ini hanya kerana semata-mata mahu membangkang sahaja?,” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Fahmi dilaporkan meluahkan rasa kesal dengan tindakan memberi tekanan kepada warga media termasuk yang terkini melibatkan Al Jazeera.
Beliau berkata, media perlu memainkan peranan untuk melaporkan berita dengan bebas selagi ia tidak menerbitkan berita palsu dan tidak sahih.
Malah beliau turut menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah bertindak segera meyakinkan pengamal media bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan antimedia dan antikebebasan bersuara.
Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, pihaknya tidak hairan dengan perkara itu kerana sebelum ini Pakatan Harapan (PH) turut mengeluarkan kenyataan-kenyataan palsu ketika berpolitik.
Malah, katanya, gabungan parti itu turut memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 ketika tampuk pemerintahannya.
Jelasnya lagi, pemansuhan akta berkenaan telah menyusahkan negara ketika dilanda krisis COVID-19.
“Beliau (Fahmi) mengecam tindakan yang diambil terhadap Al Jazeera dengan menegaskan bahawa media perlu bebas tetapi pada masa sama, beliau mengatakan media tidak boleh membuat berita palsu.
“Apakah beliau mahu mengatakan laporan Al Jazeera ini adalah tepat? Jika media membuat berita palsu, apakah tindakan tidak boleh diambil?
“Apakah beliau ada kepentingan terhadap Al Jazeera sehingga sanggup melawan arus menggadai maruah sebegini?,” soalnya sinis.