Berita Utama

Sultan Selangor kesan ramai berdegil abai SOP normal baharu

Jika berterusan bimbang tercetus gelombang kedua COVID-19

BANGI, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan, kebimbangan selepas mendapati masih ramai rakyat di negeri ini yang mengabaikan amalan prosedur operasi standard (SOP) dalam mencegah penularan wabak COVID-19.

Istana Alam Shah dalam kenyataan memaklumkan, Sultan Sharafuddin bertitah, hasil pemerhatian baginda sendiri mendapati rakyat tidak lagi mematuhi garis panduan ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan jarak sosial ketika berada di tempat awam.

“Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan normal baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul serta menjejaskan ekonomi dan kehidupan harian rakyat.

“Justeru, baginda menyeru semua rakyat terus mengamalkan disiplin tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun, dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Jika tidak sihat atau sakit, jangan keluar ke tempat awam,” titah baginda, hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana berisiko tinggi mendapat jangkitan dan seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.

Sehubungan itu, baginda menyeru rakyat agar menghargai jasa serta pengorbanan petugas barisan hadapan, khususnya di hospital serta tidak menambah beban tugas mereka.

“Selagi vaksin untuk COVID-19 belum ditemui, baginda berharap setiap rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP kerana ini sahaja cara yang terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini,” titah baginda.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button