Berita UtamaPendapat

Bagaimanakah isu imigran, pelarian boleh jadi renungan rakyat kita?

Ada pihak guna isu pelarian sebagai batu loncatan politik bawa agenda liberalisme dan 'human rightism'

UMUM diketahui bahawa Eropah adalah syiar (epitome) kepada fahaman liberalisme, sama ada dari aspek ekonomi, politik, nilai sosial, batas sempadan, dan lain-lain.

Antara sisi positif yang sering dilihat adalah apabila Eropah bersifat terbuka dalam membuka sempadan mereka bagi mereka yang ingin mencari suaka (asylum).

Teringat pula hadis Nabi yang menyatakan sisi positif bangsa Rom yang disampaikan oleh Amru ibn Al ‘As, antara sifat berkualiti bangsa Rom adalah ” bersifat kasihan kepada orang miskin, yatim piatu dan golongan yang lemah.”

Eropah sekian lama menjadi “syurga” imigran dan pelarian. Pada tahun 2015, di Hungary, terdapat 1,800 permohonan suaka bagi setiap 100,000 rakyat Hungary.

Di Sweden pula, 1,700 daripada 100,000 permohonan suaka adalah rakyat Sweden. Pada tahun yang sama, negara Eropah yang meluluskan paling ramai suaka iaitu lebih kurang 141,000 orang di German dan 33,000 orang di Sweden.

Apa yang berlaku pada 2015 adalah krisis peperangan mula memuncak di Syria dan krisis masih berterusan di Afghanistan dan Iraq.

Ketiga-tiga negara muslim yang dilanda krisis ini adalah tiga negara tertinggi dari segi bilangan pelarian ke Eropah.

Eropah menerima kemasukan berjuta-juta pelarian sehingga menimbulkan keresahan di kalangan rakyat Eropah sendiri.

Susulan dari itu, berlaku perkembangan gerakan populis di negara-negara Eropah, yang mana salah satu tema yang serupa adalah mengenai melindungi kedaulatan negara Eropah dari lambakan imigran dan pelarian.

Dari negara yang menganggap diri mereka sebagai liberal dan demokrasi maju, rakyat Eropah semakin hari semakin melaungkan fahaman populisme.

Dalam tulisan ini , saya tidak akan campur dengan isu pemain-pemain Barat yang menyebabkan pergolakan negara-negara Timur Tengah – mesti kita jawab nanti – patutlah mereka kena terima imigran dan pelarian.

Tetapi saya akan fokus kepada reaksi rakyat marhaen Eropah berkenaan isu imigran dan pelarian dan sentimen yang diambil sebagai peluang oleh pemimpin gerakan populis di Eropah.

Dalam isu imigran dan pelarian, perkara-perkara yang menjadi keresahan masyarakat Eropah bukanlah kerana “xenofobic” semata-mata, tetapi mempunyai isu yang mereka anggap mengganggu-gugat hak asas mereka sebagai rakyat Eropah, antara isu yang diketengahkan:

1) Isu sumber ekonomi dan kekayaan negara – pekerja asing yang menimbulkan persaingan pasaran buruh dan pekerjaan, gaji minima yang tidak berganjak disebabkan oleh kesediaan pekerja asing dibayar dengan gaji lebih rendah, pekerja-pekerja kolar putih dengan kelayakan pendidikan bukan dari negara itu, penggunaan sumber kebajikan negara yang sepatutnya digunakan untuk rakyat, dan lain-lain.

2) Isu meraikan kepelbagaian kaum dan budaya serta asimilasi dengan budaya tempatan – Rakyat Eropah mula merasakan imigran sebagai beban apabila imigran bersikap silo dalam aspek prasarana, ekonomi, bahasa, kebudayaan asal bangsa dan tidak mahu berasimulasi dengan budaya tempatan. “Diversity” and “multiculturalism” mula dianggap sebagai beban sosial dan ekonomi.

3) Hak mengundi dan hak mempengaruhi polisi dan dasar negara – Rakyat Eropah merasakan imigran yang diberi hak mengundi (kebiasaannya mereka telah menjadi rakyat atau penghuni tetap) sebagai mengubah demografi kehendak politik dan halatuju negara Eropah.

Bahkan isu imigran dikatakan mengalihkan tumpuan sebenar matlamat politik yang ingin memberi kekuatan pada identiti dan jatidiri negara Eropah itu.

Isu imigran dan pelarian di Eropah semakin hari semakin bergelodak. Saban hari, parti politik populis semakin mendapat sambutan dan menyemarakkan semangat nasionalisme.

Tambahan pula, pandemik COVID-19, menguatkan lagi hujah untuk menyemak semula polisi kemasukan imigran dan pelarian ke dalam negara-negara Eropah.

Bagaimanakah isu ini relevan untuk menjadi renungan rakyat Malaysia?

i.Dengan perkembangan terkini yang mula mempersoalkan polisi moral negara, adakah sepatutnya meraikan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan pelarian ataupun tidak?

ii- Malaysia sebagai negara Islam, tidakkah patut kita simpati kepada saudara seakidah sepertimana tuntutan Islam?

iii- Bagaimana reaksi yang wajar ditunjukkan apabila dihidang isu PATI, pelarian dan imigran?

iv- Apakah had untuk menerima atau mengatakan tidak kepada imigran dan pelarian?

v- Bagaimana cara menangani isu penyeludupan manusia?

vi- Bagaimana dengan kestabilan ekonomi, asimilasi budaya, jati diri, masalah sosial dan lain-lain apabila berkait isu imigran dan pelarian? Bagaimana kita akan uruskan?

v- Ada juga pihak yang menggunakan isu imigran dan pelarian sebagai batu loncatan politik untuk membawa agenda liberalisme dan “human rightism”.

Sememangnya isu pengurusan imigran dan pelarian adalah isu yang rumit. Semoga ada penyelesaian yang menyeluruh, perlu belajar dari pengalaman negara-negara lain seperti Eropah dan perlu menilai dengan halus niat yang “baik” dan “jahat” yang mempergunakan isu ini.

Norhidayah Ismail
Aktivis ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button