Berita Utama

Bantah pelantikan Azhar Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat

Bekas Pengerusi SPR pernah pertahan Pesta Arak Oktoberfest 2017

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Tidak mustahil ada bantahan dan pertikaian sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) benar-benar memilih Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat. 

Sejak beberapa hari lalu, wujud khabar angin mendakwa Azhar akan dipilih sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu, menggantikan Mohamad Arif Md Yusof.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Azhar mempunyai banyak kontroversi termasuk tindakannya mempertahankan penganjuran Pesta Arak Oktoberfest pada tahun 2017. 

Malah, pada ketika itu, Azhar meminta PAS untuk memberikan statistik dan bukti bagi menyokong hujah parti itu bahawa festival arak tahunan di Malaysia akan meningkatkan kadar jenayah.

Bahkan, Azhar turut mempertahankan organisasi seperti G25 dan NGO Sisters in Islam (SIS) yang sering membuat kenyataan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

“Saya tiada masalah untuk menggantikan Speaker yang lama iaitu Tan Sri Datuk Mohamad Ariff Md Yusof kepada seorang Speaker yang baharu kerana saya faham akan keperluannya. 

“Namun, kita mengharapkan yang dilantik nanti adalah tokoh yang dapat membantu menguatkan agenda Islam dan Melayu di Parlimen,” kata Haji Aminuddin dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) turut meluahkan ketidakyakinan bahawa Azhar dapat menjalankan tugasan untuk menjunjung isu-isu mengenai kedaulatan Islam dan hak kedudukan Melayu dalam Perlembagaan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

“Apakah kerajaan tidak sedar akan semua perkara ini sehingga mahu melantik beliau menggalas jawatan yang kritikal dalam proses penggubalan penggubalan undang-undang melalui Parlimen? 

“Atau sebenarnya ada ‘deal’ belakang yang kita tidak ketahui? Apakah layak semua ini diperjudikan sedemikian rupa sahaja?

“Malah, jawatan Timbalan Speaker juga tidak sepatutnya diserahkan kepada Datuk Seri Azalina kerana lebih ramai lagi yang layak dari kalangan bukan Ahli Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu menegaskan semula tuntutan NGO-NGO Islam yang sepakat mendesak pihak kerajaan mempertimbangkan ciri-ciri seorang Speaker Dewan Rakyat yang bakal dilantik. 

“Pertama, individu berkenaan mestilah menjunjung tinggi kedudukan serta kedaultan Islam dalam Perlembagaan. Kedua, menghormati serta menjunjung sistem Raja Berpelembagaan. Ketiga, menghormati serta menjamin Hak Kedudukan Orang Melayu, Bumiputera dan hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Keempat, berakhlak mulia, berintegriti dan mempunyai rekod bebas rasuah dan kelima, tegas dalam menjunjung semua prinsip Rukun Negara.

“Saya harap anda semua dapat menyuarakan mengenai perkara ini juga keranya ianya sangat penting. Mudah-mudahan kerajaan akan mempertimbangkan semula keputusan ini. Insya-Allah,” katanya.

Azhar dilaporkan sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) berkuat kuasa 29 Jun lalu. 

Unit Komunikasi Korporat SPR dalam satu kenyataan berkata, peletakan jawatan itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan dimaklumkan melalui surat Istana Negara bertarikh 30 Jun 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button