Berita Utama

Banyak lagi aktiviti haram babitkan warga China?

Mereka berani kerana tak takut penguatkuasaan Malaysia

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Sindiket perjudian dalam talian membabitkan warga China menimbulkan pelbagai andaian yang boleh merungkai isu ratusan ribu pelancong dari negara itu yang tidak mempunyai rekod tarikh keluar di negara ini.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh, Ustaz Sharipudin Ab Kadir berpandangan, jika dibandingkan jumlah itu berbanding jumlah tangkapan, banyak lagi aktiviti haram yang mereka boleh lakukan dalam tempoh yang lebih lama.

“Lebih-lebih lagi mereka merekrut warga tempatan berbangsa China untuk menjalankan aktiviti haram di negara ini bersama mereka. Kenapa mereka begitu berani? Secara umum boleh diandaikan kemungkinan mereka tidak takut dengan undang-undang negara ini dan penguatkuasaannya.

“Mungkin juga ada warga tempatan berbangsa China yang memberi kerjasama dan memberi pelindungan kepada mereka. Kebarangkalian yang lebih tinggi ialah kedua-duanya sekali,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ustaz Sharipudin yakin Malaysia dijadikan sebagai pusat rangkaian untuk perjudian di negara mereka kerana takut dengan undang-undang dan penguatkuasaan di China.

“…atau ada agenda lain di sebalik perjudian yang dirancang oleh negara mereka terhadap Malaysia. Judi adalah jalan mudah untuk mereka beroperasi di negara ini dan juga tempat mengumpul dana untuk aktiviti mereka memandangkan judi amat menguntungkan dan keuntungan diperolehi mudah dan cepat.

“Tidak mustahil jika andaian di atas tepat dan sahih banyak lagi aktiviti-aktiviti jenayah yang mereka boleh lakukan dalam tempoh yang panjang. Bahkan isu ini boleh menjerumuskan negara kita kepada ancaman keselamatan dan keamanan,” katanya.

Isnin lalu, polis menahan 28 individu termasuk lapan wanita yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian dalam talian di sebuah pejabat di Jalan Cheras, Kuala Lumpur.

Semua 11 lelaki dan lapan wanita tempatan serta sembilan lelaki warganegara China berusia antara 20 hingga 33 tahun itu ditahan pada jam 8 malam.

Sebelum ini, negara dikejutkan dengan penangkapan 680 warga China yang aktif menjalankan aktiviti sindiket penipuan pelaburan dalam talian terbesar di Cyberjaya.

Kemudian, 87 lagi ditahan di beberapa unit kondominium di sekitar Setiawalk, Puchong juga menjalankan skim pelaburan dan perjudian dalam talian.

Malah, 10 lelaki China pula ditahan kerana terbabit dalam sindiket perjudian atas talian di sebuah apartmen di Batu 9 Cheras, Kajang.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2 mendapati tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga 2018.

Menurut laporan itu sepanjang 2016 hingga 2018 data ketibaan 79,799 warga China melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) didapati 76,258 (95.6 peratus) tidak mempunyai rekod tarikh keluar.

Bagi warga India pula, kemasukan yang dicatatkan ialah 41,243 antara 2017 dan 2018 tetapi 39,806 atau 96.5 peratus tidak mempunyai catatan tarikh keluar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button