Ops Benteng: 10 warga asing ditahan
Mereka didapati lakukan kesalahan imigresen: Ismail Sabri
BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Pihak polis menahan 10 warga asing di sekatan jalan raya Ops Benteng hari ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, 66 sekatan jalan raya dilakukan di seluruh negara dengan 39,407 kenderaan diperiksa, hari ini.
“Didapati bahawa warga asing yang ditahan ini telah melakukan kesalahan imigresen,” katanya mengulas penahanan itu.
Pada masa sama, beliau menegaskan, pihak berkuasa serius dalam membendung kemasukan warga asing secara haram.
“Pemeriksaan di sepanjang perbatasan negara telah diperketat untuk memastikan tidak ada yang memasuki negara ini melalui jalan haram tanpa dokumen yang tepat dan sah,” katanya.
Selain itu, Ismail turut memaklumkan bahawa pasukan petugas yang diketuai pihak polis untuk memantau kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) telah membuat 66,629 pemeriksaan, semalam.
“Ini termasuk pasar raya, restoran, bank, kilang, penjaja, terminal pengangkutan dan pejabat kerajaan,” katanya.
Polis juga turut menahan 11 orang kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan tidak mematuhi SOP.