Dunia

PBB desak India siasat kes muslim Kashmir mati, diseksa dalam tahanan

Laporan sahkan banyak kes disasar ikut etnik dan identiti agama

GENEVA, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Empat pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta India menyiasat dakwaan penyeksaan dan pembunuhan beberapa lelaki muslim Kashmir sejak Januari 2019. 

Satu laporan telah dihantar kepada kerajaan India pada 4 Mei lalu mengenai kemerosotan keadaan hak asasi manusia yang berterusan di Jammu dan Kashmir – wilayah ditadbir New Delhi – yang mendokumentasikan beberapa kes penahanan, penyeksaan dan perlakuan buruk serta pelanggaran hak-hak golongan minoriti. 

“Kami tetap prihatin dengan pelanggaran hak asasi manusia yang sedang berlaku,” menurut laporan yang dikongsi di laman web Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (OCHCR) minggu ini. 

PBB menggesa New Delhi untuk melakukan penyiasatan yang tidak memihak kepada semua tuduhan membunuh, penyeksaan serta bertindak adil kepada pihak yang disyaki. 

“Kami memandang serius terhadap dakwaan menggunakan kekerasan, penyeksaan dan sebarang bentuk perlakuan yang melampau ketika penangkapan serta penahanan atau kematian dalam tahanan,” kata pelapor PBB. 

Merujuk kebanyakan kes penyeksaan dalam tahanan, laporan itu menyifatkan tindakan berkenaan disasar mengikut etnik dan identiti agama. 

Difahamkan penahanan sewenang-wenangnya itu dan penyiksaan telah menyebabkan sekurang-kurang empat kes kematian, termasuk seorang guru berusia 29 tahun, Rizwan Pandit yang meninggal dunia dalam tahanan polis pada 19 Mac tahun lalu.

Laporan itu memetik hasil bedah siasat Pandit menyatakan bahawa dia mati akibat pendarahan yang disebabkan daripada beberapa kecederaan.

“Dia didakwa mempunyai tanda diseksa pada mayatnya tetapi hasil bedah siasat tidak diumumkan,” katanya. 

Pegawai itu berkata, New Delhi tidak memberi maklum balas terhadap laporan berkenaan dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan – dan berakhir pada hujung bulan ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button