Pelampau feminis umpama letak racun dalam ubat
Islam sudah lebih awal mengajar martabat wanita: Firdaus Wong
BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Walaupun tidak semua yang diperjuangkan pelampau feminis salah, namun golongan berkenaan kerap mencampuradukkan kebenaran dan kebatilan.
Tindakan mereka itu menyebabkan orang awam sukar membezakan yang mana baik dan buruk hingga menganggap apa yang diperjuangkan feminis sebagai benar, kata Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Presiden Wong Wai Hung.
“Umpama letak racun dalam ubat. Kita ingat minum ubat untuk sembuh tetapi tambah penyakit kerana ubat telah dicampur dengan racun. Itulah pelampau feminis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Firdaus berkata, golongan ini selalu menggunakan cogan kata atau slogan yang menarik sehingga orang ramai mudah berminat dengan apa yang mereka bawa.
“Slogan mereka cantik ‘menarik da boom’ sehingga ramai tertarik. Perjuangkan hak wanita, keadilan untuk wanita dan sebagainya.
“Tetapi mereka tidak sedar Islam terlebih awal mengajar martabat wanita dan kerana itu juga, daripada lima orang yang memeluk Islam di United Kingdom, empat daripadanya adalah wanita,” tegasnya.
Pada masa sama, Firdaus mempersoalkan sama ada pelampau feminis mahu membogelkan wanita dan merendahkan semua martabat wanita setelah dimuliakan oleh Allah SWT.
“Hanya kerana mereka sendiri mempunyai pengalaman buruk dengan lelaki atau mengendalikan kes lelaki yang teruk, maka dipukul rata semuanya teruk sebagaimana ada juga kes perempuan yang teruk tidaklah menjadikan semua perempuan teruk,” katanya.
Justeru, bagi mengelakkan sebarang salah faham berkenaan perjuangan martabat wanita yang sebenar, Firdaus berjanji akan meneruskan ‘pelondehan’ agenda pelampau feminis dan jarum halus walaupun menerima sedikit tentangan dari muslim sendiri.
“Jangan beremosi, baca dengan tenang dan rasional serta objektif. Semoga Allah kurniakan hidayah buat kita semua,” katanya.