Pelarian Rohingya dilarang tinggalkan pulau Bashar Char
Larangan dikecualikan jika pelarian mahu kembali ke negara asal
DHAKA,17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Pihak berkuasa Bangladesh memberi amaran kepada ratusan pelarian Rohingya supaya tidak meninggalkan pulau di Teluk Benggala yang kerap dilanda banjir.
Larangan itu hanya dikecualikan sekiranya pelarian-pelarian berkenaan berniat untuk kembali ke negara asal.
Sekurang-kurangnya 306 etnik Rohingya ditempatkan di pulau Bashan Char pada April lalu, selepas diselamatkan dari dua bot dalam cubaan menyeludup mereka ke Malaysia.
Simpati dengan nasib menimpa etnik berkenaan, Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) dan pemimpin masyarakat turut berusaha untuk menempatkan mereka di kem pelarian lebih selesa di tanah besar.
Pentadbir wilayah yang merangkumi pulau itu, Mohammed Khorshed Alam Khan berkata, para pelarian Rohingya terbabit akan kekal di Bhasan Char sehingga mereka dihantar pulang ke Myanmar.
Mohammed Khorshed berkata, kesemua pelarian di pulau itu dijaga dengan baik selain mempunyai kemudahan jauh lebih selesa berbanding di kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar, di mana lebih 700,000 etnik Rohingya mendapatkan perlindungan.
Mereka adalah kumpulan yang melarikan diri daripada operasi tentera di Myanmar pada 2017.
Sebelum ini, pihak berkuasa Bangladesh pada April berkata, etnik Rohingya berkenaan akan ditempatkan di pulau berkenaan bagi membendung penularan COVID-19 di kem pelarian.
Sementara itu, Ketua Persatuan Arakan Rohingya untuk Keamanan dan Hak Asasi Manusia, Mohib Ullah berkata, pelarian etnik itu yang berada di pulau berkenaan mahu mengadakan rundingan bersama Pesuruhjaya Pelarian Bangladesh.
Mohib turut menggesa pihak berkuasa untuk menghantar kanak-kanak Rohingya kembali kepada keluarga masing-masing. – Agensi