Berita UtamaIstimewa

PN jangan masuk campur, biarkan MCA-GERAKAN-DAP berebut kerusi majoriti Cina

Calon muslim berwibawa mesti bertanding di kerusi majoriti Melayu

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Parti berasaskan kaum, MCA sepatutnya menghalang GERAKAN dari ‘mengacau’ pertandingan dua penjuru dengan parti tamak haloba DAP, berbanding menuntut kerusi majoriti Melayu, jika ikhlas mahu membantu Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya akan datang.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya bagaimanapun berkata, beliau lebih cenderung supaya PN mengabaikan sahaja rundingan GERAKAN yang mahu bekerjasama dan mewujudkan keadaan ‘satu lawan satu’ dengan lawan bersama dalam pilihan raya akan datang.

“Saya pasti perkembangan ini sudah dijangka oleh MCA yang tidak mahu kerusi yang mereka tandingi menjadi berkurangan berbanding PRU yang lalu. Ditambah lagi desakan untuk mereka bertanding di hanya kawasan majoriti Cina yang semakin kuat, pasti membimbangkan mereka.

“Saya faham, jika kerusi yang mereka tandingi semakin berkurangan berbanding PRU-14, mereka akan berasa malu dan akar umbi MCA juga akan marah.

“Apakah solusinya ialah dengan menuntut kerusi-kerusi majoriti Melayu yang mereka tandingi sebelum ini, sebagai ‘backup plan’ untuk mengekalkan jumlah kerusi tandingan selain jaminan untuk ada wakil di Parlimen jika kalah di semua kawasan Cina seperti sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau mahu rundingan itu dilakukan bagi mengelakkan kerugian buat PN dan parti itu yang akan menghadapi musuh yang sama.

Memetik Sinchew Daily, beliau yakin perundingan itu akan berhasil memandangkan GERAKAN dan PN mempunyai musuh serta hala tuju yang sama.

Katanya, GERAKAN meramalkan pilihan raya kilat akan mengambil tempat seawal September dan pengerusi negeri sedang giat menyediakan dan menyerahkan senarai calon.

“Nama yang diterima telah melebihi jumlah ‘kerusi tradisi’ yang ditandingi kami sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, GERAKAN akan menumpu perhatian kepada 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pernah ditandingi, selain kawasan yang dilihat mampu ditawan.

Dalam perkembangan berkaitan, Haji Aminuddin menyarankan PN membiarkan sahaja berlakunya pertandingan tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti Cina.

“Kita pun mahu melihat, apakah akan berlakunya ‘rundingan belakang tabir’ antara DAP, MCA dan GERAKAN nanti.

“Kepada sahabat-sahabat marhaen sekalian, teruskan momentum mendesak agar kerusi majoriti Melayu ditandingi oleh calon muslim untuk menjayakan agenda ‘meramaikan ahli Parlimen muslim berwibawa di Parlimen’. Insya-Allah,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button