Berita UtamaPendapat

TS Muhyiddin kembali kepada UMNO: Sokongan terhadap cadangan Ds Nazri Aziz

Bilangan, perpecahan parti Melayu, Islam berkurang, Bersatu terbubar

Oleh Tun Abdul Hamid Mohamad

DATUK SERI Nazri Aziz telah mengeluarkan satu cadangan yang bernas, atau sekurang-kurangnya yang saya amat bersetuju. Maka, biarlah saya menjadi antara orang pertama yang menyokong beliau, jika tidak yang pertama pun. Terlebih dahulu, tahniah Datuk Seri.

Saya merujuk kepada kenyataan beliau yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 08 07 2020 di mana beliau mencadangkan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali semula kepada UMNO dan diangkat menjadi Presiden UMNO.

Beliau memberi empat alasan:

1. TS Muhyiddin tidak mengkhianati UMNO kerana beliau tidak meninggalkan parti, sebaliknya dipecat.

2. Ia akan mengukuhkan parti terbesar orang Melayu itu;

3. Beliau tidak akan kembali dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri.

4. Ia akan dapat menyelesaikan masalah pembahagian kerusi di antara UMNO dengan PAS.

Beliau juga mencadangkan sekiranya TS Muhyiddin kembali ke pangkuan UMNO, jawatan Presiden parti juga patut diserahkan kepada Ahli Parlimen Pagoh itu.

Hujah beliau ialah, secara tradisinya, Perdana Menteri merupakan Presiden UMNO dan pemimpin dan ahli parti perlu menerima dengan tangan terbuka.

“Kita kena bagi jawatan Presiden UMNO sebab beliau kembali bukan dengan tangan kosong tetapi dengan jawatan Perdana Menteri, kita kena terima, kena berkorban dan menerima dengan terbuka.

Saya bersetuju sepenuhnya dengan beliau berkenaan tiga alasan yang pertama disebut di atas dan tidaklah perlu menambah.

Mengenai alasan keempat, sambil saya bersetuju ia akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS, ia juga akan mengurangkan masalah pembahagian kerusi UMNO dan Bersatu.

Itu penyelesaian masalah-masalah yang terdekat (immediate). Tidak kurang, jika tidak lebih, pentingnya ialah penyelesaian masalah jangka panjang yang lebih besar iaitu ia akan membantu menguatkan perpaduan Melayu.

Kita bincangkan perkara-perkara yang terdekat dahulu. Dalam perkara ini, saya merujuk pembaca kepada rencana saya bertajuk Pembahagian Kawasan Pilihan Raya Antara Parti-parti Komponen PN Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) (22 06 2020).

Ringkasnya, UMNO dan PAS adalah dua buah parti Melayu/Islam yang tertua, terbesar yang mempunyai sokongan akar umbi yang kukuh dan jentera pilihanraya yang teruji.

Walaupun Barisan Nasional (BN) kalah dalam PRU14, UMNO tetap menjadi parti yang memenangi bilangan kerusi terbanyak di Parlimen.

Sebahagian pengundi Melayu terpengaruh untuk mengundi PH kerana terpengaruh dengan kempen membenci DS Najib tanpa memikirkan akibatnya.

Ia tidak lebih daripada sifat Melayu yang marah mengikut emosi, tetapi setelah sejuk, melihat akibatnya, barulah berfikir semula dan menyesal. Bahawa ini telah berlaku disaksikan oleh enam kemenangan UMNO/BN dalam PRK yang terkebelakang.

Dalam PRU14, Bersatu menang kerana sokongan padu orang bukan Melayu, terutama sekali orang Cina, di samping orang Melayu yang marah itu dan kesilapan UMNO dan PAS bertanding melawan sama sendiri di kawasan yang ditandingi Bersatu. Itu pun Bersatu hanya mampu memenangi 18 kerusi.

Jika Bersatu bertanding sendiri dalam PRU15, ia akan terkubur. Ia tidak boleh mengharapkan undi orang bukan Melayu lagi. Di kawasan Melayu, ia tidak boleh mengatasi kombinasi UMNO+PAS.

Maka, ia akan terpaksa menumpang ihsan UMNO dan PAS. Kehadiran DS Azmin juga tidak membantu. Kumpulan beliau sendiri berada dalam keadaan yang sama.

Maka, kehadiran Bersatu dalam muafakat UMNO-PAS menambahkan lagi kesulitan pembahagian kerusi antara UMNO dan PAS dalam PRU15. Bagaimana masalah itu mungkin berkurangan jika TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kembali kepada UMNO?

Dalam rencana saya itu, berdasarkan Bersatu kekal sebagai sebuah parti dalam PN, saya mencadangkan supaya UMNO+PAS sebagai satu kumpulan, menyelesaikan isu pembahagian kerusi itu dengan Bersatu terlebih dahulu sebelum membahagikan yang lainnya, di antara mereka.

Jika TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu menyertai UMNO, maka perlulah diselesaikan terlebih dahulu pembahagian antara UMNO dan PAS sebab hanya dua kumpulan sahaja yang tinggal iaitu UNMO (termasuk bekas Bersatu) dan PAS. Selepas itu terserahlah kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan bekas Bersatu itu menentukan siapa akan bertanding di mana.

Saya fikir, kembalinya TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO bukan lagi satu pilihan, tetapi satu-satunya jalan bagi Bersatu mengelak daripada terkubur. Hari ini, modal Bersatu hanya ada satu: jawatan Perdana Menteri. Tanpa jawatan itu ia akan jadi berkecai.

Selagi beliau dikehendaki dan dihormati, TS Muhyiddin eloklah menyediakan jalan keluar dengan terhormat. Belajarlah daripada kesilapan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Saya fikir, seperti yang dicadangkan oleh DS Nazri, UMNO hendaklah menerimanya dengan tangan terbuka dan memberikan jawatan

Presiden UMNO kepada beliau sesuai dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Jika beliau tidak disingkir, saya fikir selepas Najib, besar kemungkinan beliaulah yang akan menjadi Presiden UMNO dan, jika BN menang pilihan raya umum, beliaulah yang akan menjadi Perdana Menteri.

Sekarang beliau membawa balik jawatan Perdana Menteri, maka eloklah jawatan Presiden UMNO diberi kepada beliau. Itu pun saya cadangkan hanya untuk satu penggal sahaja. Selepas itu, biarlah ada pertandingan bebas untuk jawatan itu.

Dengan cara itu, UMNO boleh disifatkan sebagai memberi pampasan kepada TS Muhyiddin akibat penyingkiran itu.

DS Najib sepatutnya menerima susunan itu. Beliau eloklah meneruskan apa yang dilakukannya sekarang. Tumpukan kepada kes-kes yang dihadapinya dan tolong memperkuatkan semula UMNO tanpa memegang jawatan eksekutif didalamnya.

Beliau tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjadi sebab utama kekalahan UMNO/BN dalam PRU14. Eloklah beliau menghabiskan umurnya membina semula UMNO setelah beliau mendapat faedah daripada UMNO semenjak muda.

DS Zahid juga eloklah mengikut teladan DS Najib. Pada masa ini, eloklah beliau menumpukan perhatian kepada kes-kes yang dihadapinya. Eloklah beliau kosongkan dahulu jawatan Presiden UMNO untuk membolehkan TS Muhyiddin menyandangnya.

Jika TS Muhyiddin tidak disingkir, DS Zahid pun tidak boleh mimpi untuk menjadi Presiden UMNO.

Masakan beliau mampu mencabar TS Muhyiddin untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO jika DS Najib masih memegang jawatan Presiden dan untuk jawatan Presiden, jika DS Najib telah mengosongkan jawatan Presiden UMNO. Itu pun hanya untuk satu penggal. Selepas itu, jika beliau telah berjaya membersihkan dirinya daripada segala pertuduhan terhadapnya, beliau boleh bertanding semula untuk jawatan Presiden.

Saya percaya pemimpin-pemimpin UMNO dan Bersatu juga kurang senang dengan susunan ini. Tetapi, alasan mereka adalah sama dan hanya satu: kepentingan diri.

Mereka khuatir mereka akan kehilangan kedudukan mereka dalam parti dan kemungkinan dilantik ke jawatan-jawatan dalam kerajaan tempatan, malah kemungkinan menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen. Itu bukanlah alasan yang sepatutnya menjadi penentu dalam membuat keputusan sebesar itu.

Dalam membuat keputusan mengenai isu ini, fokus hendaklah diberi kepada perpaduan Melayu/Islam. Kita telah melihat, penubuhan Bersatu dan Amanah telah memecahkan orang Melayu/Islam di Semenanjung Malaysia kepada lima buah parti.

Kita telah melihat bagaimana ia merugikan orang Melayu, terutama sekali di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Maka, dengan kembalinya TS Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu kepada UMNO diikuti dengan pembubaran Bersatu, kita dapat mengurangkan bilangan parti Melayu/Islam dan perpecahan orang Melayu/Islam.

Dalam tahun 2014, apabila saya mencadangkan kerjasama antara UMNO dan PAS untuk mengelakkan tumbangnya kerajaan BN di peringkat Persekutuan, seorang bekas Menteri Kanan BN (orang UMNO) berkata bahawa ia adalah terlalu idealistik.

Selepas PRU14, beliau meninggalkan UMNO dan menyertai Bersatu dan masih berada dalam Bersatu sekarang. Jika cadangan ini berlaku, beliau bolehlah kembali kepada UMNO semula. Yang pentingnya, apa yang dikatakannya sebagai terlalu idealistik itu telah berlaku, malah lebih daripada apa yang saya cadangkan. Kali ini ianya lebih mudah kerana, berlainan daripada Bersatu, PAS boleh berdiri di atas kaki sendiri, sedangkan Bersatu tidak.

Maka, inilah jalan yang terbaik bagi Bersatu, UMNO, perpaduan Melayu/Islam dan negara. Ia juga adalah jalan yang terbaik bagi pemimpin-pemimpin yang terlibat.

09 07 2020

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close