Berita Utama

Tun tak ikhlas puji DAP, Kit Siang pun sama terima sebab nak bolot kerusi Kabinet

Sejarah tunjukkan UMNO, PAS, DAP dan PKR telah jadi tunggangan bekas PM

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Rakyat diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan putar belit mainan politik bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apatah lagi mempercayai bahawa parti tamak haloba, DAP telah berubah.

Ketua Media Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris berkata, Dr Mahathir memuji DAP kerana ada dalam kalangan ahli parti itu terdiri daripada orang Melayu liberal. 

Rashidi berkata, pendirian Dr Mahathir itu berubah dan sama sekali tidak seperti ketika beliau bersama Barisan Nasional (BN) dahulu, yang sering mengisi segenap ruang menyerang parti rasis berkenaan. 

“Hari ini skrip Tun Mahathir sudah berubah 180 darjah dari gelap gelita tiba-tiba menjadi terang-benderang terhadap DAP. 

“Kenyataannya sudah jauh berbeza daripada apa yang dahulunya pernah beliau ucapkan. Persoalan mula timbul apakah apa yang dikatakan itu benar-benar jujur dan ikhlas?,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa DAP sudah banyak berubah berbanding era ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat dan Presiden UMNO. 

Dakwanya, berbanding DAP yang ‘sangat Cina’ dulu, parti itu kini mampu memenangi kerusi walaupun meletakkan orang Melayu sebagai calon. 

Mengulas perkara itu, Rashidi percaya pujian bekas Perdana Menteri itu tidak ikhlas kerana Dr Mahathir didakwa terkenal dengan kelicikannya bermain politik sehingga memaksa ramai yang berundur. 

“Dan hari beliau berkata DAP sudah berubah, bolehkah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng mempercayai kata-kata Tun Mahathir ini? Jawapannya tuan-puan boleh cari sendiri. 

“Mungkin kerana mengharapkan kembali mendapat kuasa, Lim Kit Siang terpaksa berpura-pura menerima Tun sebagai sekutunya, dalam masa yang sama menyusun strategi mahu membolot dan menguasai sebanyak boleh kerusi Kabinet,” katanya. 

Katanya, tidak hairan jika empat figura politik dalam Pakatan Harapan (PH) –  Dr Mahathir, Anwar, Kit Siang dan Mohamad Sabu – bergabung semula sekiranya keadaan terlalu terdesak, dengan alasan kononnya mahu menyelamatkan Malaysia daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. 

“Walau apapun mainan yang mahu dilagukan oleh Tun Mahathir dan Anwar Ibrahim, rata-rata pengundi Melayu sudah muak dengan keduanya yang mempergunakan siapa sahaja untuk kepentingan politik mereka. 

“Sejarah telah menunjukkan bagaimana parti-parti dalam negara daripada UMNO, PAS, DAP dan PKR telah dijadikan tunggangan Tun Mahathir demi mencapai matlamatnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button