Berita Utama

Vernakular tembok penghalang perpaduan rakyat

Banyak negara lain telah laksana sistem pendidikan satu aliran

BANGI, 17 Zulkaedah 1441H, Khamis – Ketiadaan pemimpin berjiwa besar menyebabkan Malaysia makin jauh untuk melaksanakan tujuan Penyata Razak 1956 dalam aspek sistem pendidikan satu aliran di negara ini. 

Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, bukan hanya negara sudah jauh untuk melaksanakannya, bahkan usaha ke arah sistem pendidikan satu aliran juga ditolak secara beransur-ansur.  

Beliau kesal kerana hanya Malaysia sahaja yang masih mengekalkan sistem vernakular, sedangkan negara lain telah pun berubah melaksanakan sistem pendidikan satu aliran. 

“Penyata Razak 1956 berdiri atas matlamat besar. Waktu itu semua bersetuju dengan tujuannya. 

“… tujuan dasar pelajaran hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar.

“…walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur (Federation of Malaya 1956: Perenggan 12),” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Hazwan berkata, sistem vernakular menjadi tembok penghalang kepada sebuah impian untuk melihat anak bangsa Malaysia tidak terpisah-pisah dengan sistem pendidikan pelbagai aliran. 

“Sistem yang selama ini menjadi tembok penghalang pada sebuah impian melihat anak bangsa Malaysia tidak terpisah-pisah dinding dan bumbung sejak usianya mengenal dunia. 

“Kita perlukan pemimpin berjiwa besar,” katanya. 

Sehingga kini Malaysia masih gagal menghapuskan sistem pendidikan vernakular, meskipun sudah lebih 60 tahun merdeka. 

Walaupun pernah ada usaha untuk ke arah sistem pendidikan satu aliran melalui cadangan penubuhan sekolah wawasan, ia tetap gagal dilaksanakan ekoran sikap pemimpin politik yang menjaga pengaruh mereka. 

Bukan hanya aliran vernakular gagal dimansuhkan, bahkan sekolah jenis kebangsaan (SJK) juga semakin ditambah bilangan termasuk peruntukannya setiap tahun.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button