Berita Utama

3 maut, 2 parah nahas kereta-treler

Terlanggar lopak air, hilang kawalan, terbabas masuk laluan treler

KUALA BERANG, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan sebuah treler dan sebuah kereta jenis Toyota Vios di Kilometer 42, Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi (Aring) semalam.

Ketua Polis Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, ketiga-tiga mangsa yang maut menaiki Toyota Vios bersama dua yang lain, dalam perjalanan dari arah Bera, Pahang menghala ke Perak dan dikatakan terlanggar lopak air lalu hilang kawalan dan terbabas memasuki laluan lori treler yang dalam perjalanan dari arah Gua Musang, Kelantan menghala ke Pelabuhan Gebeng, Kuantan, Pahang.

“Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu pemandu kereta, Noriskandar Muzafar, 33, penumpang hadapan, Wan Ahmad Adam Murshidy Wan Rosli, 24, dan penumpang belakang, Zulkarnain Buniyami, 18, meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Dua lagi penumpang, Afif Safwan Mohd Zuki, 21, dan Mohamad Rusydi Md Said, 26, yang cedera dirawat di Hospital Hulu Terengganu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Adli berkata,mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button