Berita UtamaIstimewa

Al Jazeera: Saifuddin buat ‘langkah sumbang’ konon tunjuk hero

Tindakan Herleena Pahlavy manifestasi sifat berani, patriotik tinggi

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Datuk Saifuddin Abdullah sekali lagi membuat ‘langkah sumbang’ sejak menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia apabila seolah-olah bersetuju dengan tindakan terhadap pengacara program bual bicara Bernama TV. 

Terdahulu, Herleena Pahlavy telah dikenakan tindakan oleh Bernama kerana menggelar stesen penyiaran antarabangsa, Al Jazeera sebagai Al Jahiliah. 

Saifuddin menerusi Twitternya berkata, Herleena tidak patut menggelar stesen televisyen antarabangsa itu ‘jahil’ walaupun tidak bersetuju dengan laporan mengenai layanan Malaysia terhadap pendatang asing ketika menangani COVID-19.

“Kita tak setuju dengan satu laporan saluran berita itu (Al-Jazeera). Tapi kita tak boleh menggelarnya dengan panggilan itu. Saya dimaklumkan oleh pengerusi Bernama yang tindakan telah diambil,” tulis Saifuddin. 

Kesal dengan tindakan menteri berkenaan, Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yakin pemberita itu hanya meluahkan kekesalannya terhadap Al Jazeera yang jahil akan realiti semasa Malaysia, sehingga tahap memfitnah negara. 

“Bagi saya, tindakan pemberita tersebut, Herleena Pahlavy adalah satu manifestasi sifat berani dan patriotik yang tinggi. 

“Malah selepas beliau diambil tindakan sekalipun, Herleena teguh mempertahankan apa yang dilakukannya itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) berkata, sepatutnya, dalam isu ini Saifuddin hanya perlu berdiam diri sahaja.

“Jika mahu ambil tindakan sekalipun, mengapakah perlu mengumumkannya di media? Apakah Saifuddin sangka dengan berbuat demikian, beliau akan dilihat sebagai seorang ‘hero’? 

“Saya pun tidak faham apa sebenarnya yang mahu beliau buktikan. Perlakuan ‘spontan’ Saifuddin ini secara tidak langsung memaparkan kepada kita akan tahap jati diri dan patriotisme beliau yang sebenar. 

“Dan banyak lagi isu-isu yang dipalitkan dengannya yang membuktikan sedemikian,” katanya.

Haji Aminudiin berkata, sebagai seorang pemimpin, terutamanya seorang menteri, Saifuddin seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat. 

“Saya sangat bersimpati dengan Saifuddin kerana sejak jadi menteri, ada sahaja yang tidak kena yang beliau lakukan sehingga mengundang kemarahan rakyat. 

“Beberapa minggu lalu, beliau terpalit dengan isu lantikan Eric Paulsen. Manakala ketika menjadi Menteri Luar semasa dalam Pakatan Harapan, kita tidak lupa pada dua isu terbesar iaitu ratifikasi ICERD dan Statut Rom. 

“Lepas ini, kita tidak tahu apa pula isu yang menimpanya lagi,” katanya.

Sementara itu, Aminuddin sekali lagi mengucapkan syabas kepada rakyat Malaysia yang telah bersuara membela maruah negara yang cuba dirobek-robek oleh media antarabangsa sehingga sedikit-sebanyak dapat membersihkan nama negara. 

“Ini bukti bahawa kita sayang dan bangga dengan negara kita. Teruskan!,” katanya.

Al Jazeera kini disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Seksyen 500 Kanun Keseksaan adalah berkaitan kesalahan fitnah jenayah, sementara kesalahan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penggunaan aplikasi untuk membuat hantaran jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close