Berita UtamaPendapat

Anak muda perlu nafas baharu, bukan ‘warlord’

Politik huru hara kerana pemimpin ketepikan kepentingan agama, bangsa dan negara

LIMA Prinsip Rukun Negara kita dimulai dengan Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesetiaan Kepada Raja dan Negara. Saya ringkaskan sahaja dengan ungkapan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara, kerana institusi Raja itu mewakili kedudukan agama dan bangsa. Rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang mendapat pendidikan rendah dan menengah di sekolah kebangsaan, tahu, faham dan hafal Lima Prinsip Rukun Negara ini. Sekolah vernakular, saya tidak pasti.

Bagaimanapun, sudah menjadi fenomena di Malaysia, wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat tidak menumpahkan taat setia kepada agama, bangsa dan negara, tetapi mereka lebih mengutamakan keredaan pemimpin parti yang menentukan mereka sebagai calon pilihan raya.

Demokrasi secara mudahnya ialah konsep pemerintahan yang sumber kuasanya ialah orang ramai, menerusi wakil-wakil yang mereka pilih. Hampir kesemua calon yang bakal dipilih sebagai wakil rakyat itu ditentukan oleh individu pemimpin parti politik. Hanya segelintir calon bebas. Begitulah, akhirnya yang dikatakan demokrasi itu sebagai kuasa di tangan rakyat, sebenarnya tidak. Kuasa itu berpusat pada ketua parti, serta ahli-ahli yang mengampunya demi kepentingan peribadi masing-masing.

Pada hari ini, kita sedang melihat senario huru hara politik akibat sikap wakil rakyat yang membelakangkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Perkara ini bukan setelah Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh, malah lama sebelum itu, apabila perebutan kuasa sudah menjadi matlamat dalam kalangan pemimpin-pemimpin parti. Perebutan kuasa ini menyebabkan mereka menanamkan kesetiaan pengikut kepada diri mereka, bukan lagi kepada agama, bangsa dan negara. Mereka inilah yang dipanggil sebagai ‘warlord’.

Saya bawakan beberapa contoh sahaja. Kita semua sedia maklum tentang budaya politik wang dalam sesetengah parti Melayu, sehingga pemimpin mereka sendiri mengakuinya sebagai barah, dalam keadaan ada yang mengangkat slogan “cash is king”. Kelebihan kuasa pemerintahan yang berada dalam tangan digunakan untuk mengumpulkan kuasa wang, untuk “membeli” kesetiaan pengikut dan rakyat. Kesetiaan pengikut untuk memastikan mereka kekal berkuasa dalam parti, manakala kesetiaan rakyat bagi mengekalkan mereka memerintah negara.

Budaya politik wang ini sebenarnya telah menguasakan golongan kapitalis ke atas politik negara. Ini kerana mereka mempunyai tunai yang banyak untuk keperluan politik wang. Sumbangan mereka kepada individu pemimpin parti politik, tidak percuma. Mesti ada timbal balas. Tidak hairanlah, isu Tanah Rizab Melayu yang semakin berkurangan tak pernah selesai. Itu hanya satu contoh, daripada banyak penyelewengan yang dilakukan akibat memenuhi selera kapitalis. Tak larat saya nak bawakan semua kes. Ini semua adalah ketidaksetiaan kepada agama, bangsa dan negara. Ini adalah kesetiaan buta tuli kepada wang dan mereka yang memberi wang.

Contoh pengalihan kesetiaan, daripada ditumpahkan kepada agama, bangsa dan negara, kepada individu pemimpin parti, ialah kenyataan bahawa perbezaan antara PAS dan DAP hanyalah lima peratus. Kita semua tahu kenyataan ini dibuat dalam konteks perebutan kuasa, agar kesetiaan pengikut kepada pemimpin tidak berkocak. Ini kerana terdapat pertentangan yang amat nyata antara prinsip perjuangan Islam dan prinsip perjuangan DAP.

DAP memperjuangkan konsep negara sekular, demokrasi sosialis. Perjuangan ini bukan sahaja bertentangan dengan ideologi Islam yang diperjuangkan PAS, malah turut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan kita jelas menunjukkan bahawa negara ini beragama, bukan sekular, dengan kedudukan institusi Raja berdaulat berperanan melindungi agama Islam. Institusi Raja dan institusi-institusi agama Islam yang mempunyai kuasa ke atas umat Islam, adalah jelas menunjukkan identiti negara ini bukan sekular.

Sehubungan itu, DAP, sejak dahulu, berada dalam kedudukan songsang dengan identiti negara. Songsang dengan kedaulatan institusi Raja. Songsang dengan peruntukan hak istimewa orang Melayu. Songsang dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Songsang dengan dasar bahasa kebangsaan. Songsang dengan dasar budaya kebangsaan. Perkara ini difahami oleh rakyat biasa. Kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara menuntut rakyat agar menolak DAP. Namun, pemimpin parti telah mengalihkan kesetiaan itu kepada parti, demi perebutan kuasa. Penyimpangan kesetiaan inilah yang akhirnya menyumbang ke arah peningkatan sokongan orang Melayu kepada DAP dan seterusnya menguasakan mereka pada PRU ke 14.

Cukuplah dua contoh di atas, yang menunjukkan bahawa kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara telah disimpangkan oleh ‘warlord’, kepada kesetiaan kepada mereka. Fenomena penyimpangan ini menjadi semakin teruk pada hari ini. Ada pemerhati yang menyebutnya sebagai gila. Wakil rakyat tidak lagi taat kepada ketua parti, sebaliknya melompat ke sana sini, demi mentaati nafsu buas masing-masing, yang “merogol” kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.

Jalan keluar daripada kemelut ini ialah kita memerlukan parti politik yang menjunjung prinsip bahawa kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara mengatasi kesetiaan kepada pemimpin parti. Segala jalan yang boleh membawa kepada fenomena ketidaksetiaan kepada agama, bangsa dan negara, hendaklah dihapuskan. Tiada politik wang dan tiada ketaatan membuta tuli kepada ‘warlord’.

Ini impian gaya politik masa depan. Gaya politik yang membebaskan anak muda daripada cengkaman kawalan ‘warlord’. Keluar daripada tradisi masa kini. Keluar bukan bermakna bebas menjadi anarki dan liberal, tetapi keluar untuk mewujudkan satu suasana persekitaran segar dan baharu, berasaskan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.

Impian ini tidak mungkin dicapai melalui parti-parti besar sedia ada. Laluan untuk anak muda bagi melakukan perubahan hampir tertutup. Setara Khairy Jamaludin, Nurul Izzah dan Rafizi, yang kelihatan liberal itu pun gagal, dalam parti masing-masing, inikan pula percubaan anak-anak muda yang ada kecenderungan konservatif.

Sehubungan itu, saya mempelawa anak-anak muda untuk bersama BERJASA. BERJASA disediakan sebagai parti masa depan, untuk anak-anak muda yang sudah muak dan meluat dengan perangai ahli politik veteran sekarang. Di BERJASA, anda bebas mencorakkan masa depan parti dan negara, menurut kerangka kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara. Walaupun sudah lebih 40 tahun ditubuhkan, BERJASA kini berada dalam keadaan “fresh” di bawah barisan kepimpinan baharu.

Ya, BERJASA tiada kerusi dan tiada kuasa buat masa ini. Tetapi kekuatan yang hilang daripada kita selama ini ialah idea dan agenda. Semua orang bercakap dan berebut kerusi dan kuasa, tetapi mereka tiada idea dan agenda. Idea dan agenda itu ada pada BERJASA, yang turut mengalu-alukan sumbangan daripada anak muda untuk mengayakan lagi idea dan agenda itu.

Kita amat yakin, pemilih anak muda akan beralih selera kepada parti yang ada idea dan agenda yang jelas, dan itu akan memberikan mereka kerusi, pada masa hadapan. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.

Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman
Naib Presiden BERJASA

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kaitan dengan Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close