Berita UtamaDunia

Datuk Bandar Seoul ditemui mati

Mayat Wong Soon ditemui pihak polis di Gunung Bugak utara Seoul

SEOUL, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Datuk Bandar Seoul, Park Won Soon – antara individu yang berpotensi menjadi calon Presiden Korea Selatan – ditemui mati selepas dilaporkan hilang sebelum ini. 

Agensi Polis Metropolitan Seoul menjumpai mayat  Won-soon di Gunung Bugak di utara Seoul, berhampiran tempat terakhir isyarat telefonnya dikesan ketika pencarian lewat malam.

Pada masa sama, Agensi berita Korea Selatan, Yonhap memaklumkan, anak perempuan Datuk Bandar itu melaporkan bapanya hilang pada jam 5.17 petang (0817 GMT) dan memberitahu tidak dapat menghubungi bapanya untuk tempoh beberapa jam.

“Bapa meninggalkan mesej seolah-olah seperti kata-kata terakhir dan telefon bimbitnya turut dimatikan,” kata anak perempuannya.

Ratusan polis Korea Selatan menggunakan dron dan anjing untuk mencari Datuk Bandar itu semalam. 

Wong-soon dilaporkan meninggalkan kediaman rasmi sekitar jam 10.40 pagi, memakai topi hitam dan beg galas, setelah membatalkan mesyuarat yang dijadualkan pada pagi Khamis, menurut beberapa laporan tempatan.

Sebagai Datuk Bandar di kota yang berjumlah hampir 10 juta orang, Wong-soon salah seorang ahli politik yang paling berpengaruh di negara itu termasuk tindak balasnya terhadap wabak coronavirus.

Won-soon juga antara pemimpin kanan dalam parti Demokratik, mentadbir Seoul sejak hampir 10 tahun lalu.

Beliau antara yang disebut sebagai calon berpotensi menggantikan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in dalam pemilihan Presiden 2022. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button