Berita Utama

Dokumentari Al Jazeera berunsur hasutan, tidak tepat: KPN

Enam individu telah dipanggil, seorang lagi hadir esok di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Dokumentari bertajuk Locked Up in Malaysia’s Lockdown  terbitan agensi berita antarabangsa Al Jazeera yang disiarkan baru-baru ini didapati mempunyai unsur hasutan, laporan tidak tepat serta mencetuskan kemarahan orang awam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, laporan dokumentari berkenaaan telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dengan ia lebih condong ke arah menggambarkan layanan buruk terhadap pendatang tanpa izin di negara ini.

“Saya telah berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara untuk meneliti kandungan dokumentari itu dan berpendapat ia mempunyai unsur-unsur hasutan dan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan dan juga Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini.

“Mereka yang terlibat dengan dokumentari itu telah dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan,” tambahnya.

Abdul Hamid berkata, polis telah selesai memanggil enam kakitangan agensi berita berkenaan hari ini.

Beliau berkata, enam daripada mereka telah hadir ke Bukit Aman manakala seorang lagi saksi iaitu individu yang bertanggungjawab memuat naik video berkenaan dijangka hadir esok untuk beri keterangan.

“Mereka datang sebagai saksi dan bukannya suspek, malah mereka akan jawab berdasarkan soalan yang ditanya polis.

“Selepas selesai soal siasat, kertas siasatan kes ini akan bawa ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya dan sekiranya terdapat bukti-bukti kukuh, pihak Peguam Negara akan beri keputusan sama ada akan mendakwa atau tidak,” katanya.

“Jika terdapat dakwaan kakitangan Al Jazeera diugut serta nyawa mereka diancam, mereka boleh membuat laporan polis, dan keselamatan mereka termasuk mana-mana media dijamin sepenuhnya,” tambahnya.

Mengenai perkembangan usaha mengesan seorang lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang mendakwa pendatang tanpa izin dilayan seperti binatang dalam dokumentari itu, Abdul Hamid berkata, polis masih sedang mencarinya.

“Kalau dia rasa apa yang dia cakap itu betul dalam dokumentari itu, mohon dia tampil untuk jelaskan apa maksudnya yang pihak berkuasa melayan migran seperti binatang,” katanya.

Abdul Hamid berkata, pihaknya turut memberi jaminan terhadap keselamatan lelaki warga Bangladesh itu jika dia tampil memberi keterangan.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Jabatan Imigresen sedang memburu seorang lelaki yang ditemu bual Al Jazeera dalam laporan berjudul “Locked Up in Malaysia’s Lockdown.”

Md Rayhan kini dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Berumur 25 tahun, alamat terakhir lelaki dari Bangladesh itu didaftarkan di Menara Uncang Emas, Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button