iGuru setuju KPM utamakan Tingkatan 4 mula sesi sekolah 15 Julai
Keputusan KPM pasti legakan semua guru, ibu bapa dan murid
BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung permulaan sesi persekolahan bagi pelajar sekolah asrama yang dilakukan secara berperingkat pada 15 Julai dan 3 Ogos depan.
KPM semalam mengumumkan hanya pelajar Tingkatan 4 dan 6 semester satu yang bersekolah di sekolah asrama bawah kementerian itu akan kembali bersekolah pada 15 Julai.
Sebaliknya, bagi pelajar Tingkatan 1, 2 dan 3 yang bersekolah di sekolah berasrama akan memulakan persekolahan pada 3 Ogos dan meneruskan pembelajaran berasaskan home-based learning sebelum kembali semula ke sekolah.
Menyokong keputusan KPM, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan menghargai respon positif kementerian apabila memberi keutamaan memulakan sesi persekolahan bagi pelajar Tingkatan 4 dan 6 semester satu.
Beliau berkata, pelajar Tingkatan 4 wajar diutamakan kerana bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan.
“Pada dasarnya, kita bersetuju dan mengucapkan terima kasih kepada KPM kerana memberikan respon positif berhubung sesi persekolahan Tingkatan 1 hingga 4,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ustaz Mohd Azizee turut gembira dengan keputusan KPM dan menyifatkan perkara itu melegakan guru, ibu bapa dan pelajar.
“Ini memberi peluang murid merancang memanfaatkan cuti untuk bersama ibu bapa sekali gus merapatkan kekeluargaan.
“iGuru menyifatkan keputusan KPM ini melegakan melegakan semua warga guru, juga ibu bapa dan murid-murid,” katanya.
Terdahulu, Ustaz Azizee memohon KPM mempertimbangkan semula tarikh cuti Hari Raya Aidiladha bagi memberi peluang kepada warga pendidik pulang ke kampung.
Beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya tarikh 30 Julai dijadikan cuti khas Hari Raya Aidiladha, manakala 3 Ogos 2020 pula sebagai cuti pelepasan.
Perkara itu penting bagi memastikan para guru dan orang ramai pulang berhari raya di kampung, setelah mereka tidak dapat merayakannya pada Hari Raya Aidilfitri, katanya.