Berita Utama

‘Jawi diterima semua bangsa, meski ketika penjajahan Inggeris’

DBP sokong penuh keputusan jadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Pelaksaan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ pastinya dapat memberikan ruang untuk tulisan itu diletakkan pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun lalu.

Menyokong usaha itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, tulisan Jawi telah digunakan bagi semua bidang termasuk diterima dalam urusan dengan kuasa asing seperti Belanda, Portugal, Sepanyol dan Inggeris. 

Justeru, tiada asas untuk mana-mana pihak yang mewakili kaum tertentu untuk menolak usaha mengembangkan tulisan Jawi, katanya. 

“Dalam zaman Kesultanan Melayu selama ratusan tahun, tulisan Jawi menjadi tulisan bagi semua bidang, seperti agama, undang-undang, ketatanegaraan, sejarah, perubatan, persenjataan, hikayat dan susastera (prosa dan puisi), malahan dalam bidang diplomasi. 

“Tulisan Jawi dan bahasa Melayu diterima oleh semua bangsa, hatta ketika penjajahan Inggeris,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Awang berkata, sebagai usaha memasyarakatkannya, tulisan Jawi perlu digunakan untuk peragaan maklumat di tempat awam, premis perniagaan, pejabat dan dokumen di samping tulisan rumi. 

“DBP menyokong penuh keputusan kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

“Keputusan yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri memberikan ruang untuk tulisan Jawi pada martabatnya yang sah sebagai tulisan bahasa Melayu selama hampir seribu tahun sebelum tulisan rumi diterima sebagai tulisan rasmi bahasa kebangsaan,” katanya. 

Terdahulu,  Dr Zulkifli mengumumkan Hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ bermula hari ini, dalam usaha mengekalkan dan memperkasa sebahagian tradisi serta kebudayaan yang membentuk Malaysia. 

Beliau dalam kenyataan berkata, usul itu telah dibawa dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu lalu dan mendapat sokongan penuh daripada semua ahli jemaah menteri.

Bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan itu bagi urusan rasmi mulai hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close