Mahu negara stabil kena utamakan politik kenegaraan, bukan kepartian
Tak perlu takut, kerajaan Melayu Islam takkan pinggir bangsa lain
BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Malaysia akan terus stabil dan harmoni sekiranya politik kenegaraan diutamakan berbanding kepartian, selain memastikan kepimpinan negara yang bersih tanpa sebarang salah laku, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.
Justeru, menjadi peranan kerajaan hari ini – yang dianggotai majoriti pemimpin Melayu Islam – untuk memastikan peristiwa lama khususnya berkaitan salah laku tidak berulang dengan memperkasakan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis, perundangan dan kehakiman.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menuntut kerajaan – di bawah Perikatan Nasional – untuk berani membuat keputusan kritikal dalam konteks mencapai perubahan yang dikehendaki dan diharapkan oleh rakyat.
“Saya bimbang dengan pihak tertentu yang ada hasrat dalam bentuk politik apabila kumpulan mereka naik (berkuasa), mereka jadi tidak bersuara dan bercakap lagi mengenai kepincangan yang berlaku.
“Bagi PEMBELA, kita akan terus lantang bercakap kerana tidak mahu peristiwa dahulu yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) berulang lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Bicara PEMBELA mengenai ‘Kerajaan Melayu Islam: Apakah arah tuju perjuangannya’ di Facebook PEMBELA sebentar tadi.
Mengulas topik itu, Aminuddin berkata, rakyat secara langsung mengiktiraf kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai kerajaan Melayu, Islam berdasarkan komposisi yang ada di dalam Kabinet.
Katanya, Kabinet hari ini dianggotai oleh 85 peratus Melayu dan muslim, dan menjangkau 95 peratus jika termasuk Bumiputera.
“Kerana daripada 32 posisi, hanya dua kerusi sahaja yang dimiliki oleh MCA dan MIC dalam kementerian.
“Selain itu juga, keberadaan PAS di dalam Kabinet mengukuhkan lagi PN sebagai kerajaan Melayu, Islam.
“Jadi, sudah tentu memberi gambaran kepada rakyat bahawa ini satu komposisi yang melambangkan sesuatu yang ingin kita capai dan akhirnya menggelarkan kerajaan Melayu, Islam atas sebab komposisi dan keberadaan PAS,” katanya.
Walaupun ada menteri di dalam PN yang tidak bersetuju dengan gelaran itu kononnya atas sebab-sebab tertentu, Haji Aminuddin berkata, tiada kewajaran untuk berasa takut kerana kerajaan sebelum ini yang dipimpin oleh UMNO tidak mengetepikan bangsa lain.
“Saya rasa kenyataan itu tak perlu diambil berat sangat kerana jika tidak sebut kerajaan sekarang adalah kerajaan Melayu Islam pun, saya rasa semua faham begitu.
“Ini kerana kerajaan ini mempunyai komposisi majoriti anggota Kabinet Melayu dan Islam,” katanya.