Berita Utama

Masalah utama dalam PN-PH-BN sama, berebut kuasa

Rakyat masih nantikan barisan pemimpin politik yang berwibawa

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Tidak kira sejauh mana kebenaran desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan dalam masa terdekat, seluruh rakyat diminta supaya mendoakan yang terbaik buat agama, bangsa dan negara.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ketika ini, rakyat masih menantikan barisan pemimpin politik yang berwibawa dan kompeten. 

Paling penting, katanya, mereka mestilah bekerja gigih untuk menjayakan agenda agama, bangsa dan negara. 

“Sudah lama sangat, rakyat menantikannya…,” katanya sambil mengharapkan khabar angin kononnya PRU pada penghujung tahun atau awal 2021 tidak benar. 

Mengulas mengenai Perikatan Nasional (PN), Prof Zainur Rashid berkata, pakatan itu bukanlah sebuah gabungan parti yang formal, berbanding Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau pun Muafakat Nasional (MN). 

Katanya, permasalahan utama dalam PN, sebagaimana dalam PH dan BN sebelum ini, adalah perebutan kuasa untuk diri dan parti sendiri – jadi sebagai rakyat kita mahukan ia diurus dengan sebaik mungkin. 

Beliau berpandangan bahawa hanya tiga buah parti yang mempunyai akar umbi yang paling ‘established’ iaitu UMNO, PAS, dan DAP, dan diikuti oleh PKR.

“Tanpa Bersatu dan GPS, PH sukar untuk memenangi PRU15 tanpa sokongan orang Melayu dan Bumiputera Sarawak.

“Bersatu yang diketuai Tan Sri Muhyiddin sendiri merupakan parti yang paling berisiko jika dibandingkan dengan parti-parti lain yang lebih established kerana tidak mempunyai penyokong akar umbi yang kuat,” katanya.

Pada ketika ini, majoriti barisan kepimpinan UMNO amat mengharapkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dilaksanakan segera. 

Perkara itu timbul akibat ketidakstabilan kerajaan PN, seperti gesaan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin membubarkan Parlimen. 

Selain itu, pemerhati politik pula percaya UMNO menyasarkan majoriti di Parlimen untuk mendapatkan kembali kuasa yang terlepas pada PRU lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button