Berita Utama

‘PN tak stabil, tengkuk sampai ekor bersimpang siur penuh onak duri’

UMNO jadi parti banyak kepala, banyak mulut, PAS pula reda dimadu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Khamis – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin nampak semakin tidak stabil, kata Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr Hassan Mad.

“Macam mana nak stabil jika hanya kepala yang lurus, tengkuk sampai ke ekor semua bersimpang-siur mengait duri dan onak, mencari penyakit.

“UMNO juga makin tak stabil, terus bergelora, sebabnya parti itu sudah jadi parti banyak kepala, banyak mulut. 

“Muafakat Nasional (MN) pula nampak stabil tetapi sebenarnya tidak. Penyatuan Ummah 914 dah cukup indah dan murni,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau turut melihat UMNO bagaikan lebih rela menyusukan kera di hutan, menanakkan nasi dagang nan lalu. 

Bahkan, parti ‘keramat Melayu’ itu juga lebih rela menggendong babi hutan sekali pun tangan calar digigit. 

“PAS pula reda segera dimadu, belum sempat berbulan-madu. Lenyaplah Penyatuan Ummah, selamatlah BN dek lahirnya MN. 

“MN sekadar stabil pada zahir. Tempik MCA disulam kelentong MIC mampu pukau UMNO,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, politik Melayu pada hakikatnya tidak mampu menahan kesakitan renjatan norma politik baru, kerana perjuangan mereka bukan lagi berdasarkan ideologi menjaga kepentingan bangsa agama dan negara. 

“Norma baru politik ialah segala benda yang ada dalam dunia boleh dipolitikkan dan kemudian diperdagangkan. Maksud saya ialah bila sesuatu itu boleh dipolitikkan maka ia boleh diperdagangkan.

“Etika dan integriti adalah contoh terbaik. Kedua-duanya ada nilai komersil untuk dipolitikkan dan diperdagangkan. 

“Contohnya, calon yang tak terpilih bertanding adalah produk politik paling berharga untuk dipancing pihak lawan. Akan diheret sama semua penyokongnya melompat menyokong seteru politiknya. Ini sukan lompat penyokong politik namanya.

“Yang bertanding dan menang, pun ada nilai komersilnya tersendiri dengan gaya lompatannya sebagai YB,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button