Berita Utama

Seludup PATI: Jangan kompromi biarpun pegawai berpangkat tinggi

Hukuman tanpa pilih bulu dapat bersihkan imej tak baik dalam organisasi

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Tiada istilah berat sebelah dalam mengenakan tindakan ke atas mana-mana anggota pihak berkuasa yang menyalahguna kuasa dan melanggar undang-undang.

Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Hussin Awang Ngah berkata, penguatkuasaan undang-undang adalah penting untuk diaplikasikan kepada setiap individu, tidak kira sama ada mereka berpangkat bawahan mahu pun memegang jawatan tinggi dalam sesuatu organisasi.

“Kalau dia langgar peraturan dan undang-undang, sama ada dia daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), malah dari Jabatan Peguam, sekiranya dia salah, dia perlu ditangkap dan didakwa di mahkamah mengikut undang-undang sedia ada.

“Dalam masa sama, jangan ada kompromi dengan mana-mana pihak berkenaan, waima anggota penguatkuasa berpangkat tinggi sekalipun,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, polis Johor telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes 18 pegawai serta anggota polis dan tentera yang ditahan pada 18 Jun lepas kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dadah kepada Pejabat Peguam Negara.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya kini menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kertas siasatan baki lima lagi suspek merangkumi tiga pegawai imigresen, seorang anggota polis marin yang masing-masing ditangkap pada 24 Jun serta seorang penolong pengarah imigresen yang ditahan pada 2 Julai lepas sedang dilengkapkan.

Mengulas lanjut, Hussin berkata, pelaksanaan undang-undang dan hukuman tanpa memilih bulu akan dapat membersihkan imej tidak baik dalam kalangan pihak berkuasa.

Malah, katanya, perkara itu akan menjadi pengajaran kepada individu dalam organisasi sama untuk tidak melanggar undang-undang.

“Kes langgar undang-undang dan salah guna kuasa bukan sekali terjadi dan bukan hanya berlaku dalam kalangan anggota PDRM dan ATM, malah jabatan lain turut terbabit.

“Contohnya sebelum ini Timbalan Pengarah JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) sendiri turut terbabit dalam sindiket kad pengenalan palsu.

“Jadi, apabila penguatkuasaan dilancarkan dengan baik, meskipun kes sama berulang pada masa akan datang, tetapi sekurang-kurangnya perkara itu menjadi garis panduan kepada orang lain untuk berasa lebih khuathir dengan kes sebelum ini.

“Sebab ikut peraturan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam), bila seseorang penjawat awam ditahan dan dipenjara sehari pun terus kena buang kerja,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut menyifatkan individu yang terbabit dalam kegiatan menyeludup PATI adalah pengkhianat negara.

Beliau berkata, anggota polis di sempadan negara akan ditukar sebulan sekali bagi mengelakkan untuk menjadi tekong menyeludup PATI.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button