Zionis ancam potong bekalan elektrik di Tebing Barat
Negara haram beri alasan Palestin tak sokong rampas wilayah diduduki
BAITULMAQDIS, 18 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Rejim pengganas Israel sekali lagi bertindak melampau apabila mengancam untuk memotong bekalan tenaga elektrik di beberapa bandar Palestin di Tebing Barat.
Menteri Kerajaan Tempatan Palestin, Majdi al-Saleh berkata, tindakan itu sebagai alasan kononnya pemimpin Palestin tidak memberi sokongan kepada rejim Zionis, yang merancang untuk merampas sebahagian besar wilayah yang diduduki.
Dalam satu kenyataan, Majdi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan agresif negara haram itu.
Beliau berkata, Israel sengaja mengambil kesempatan ketika situasi epidemiologi COVID-19 menghantui seluruh dunia.
Majdi turut menyeru organisasi hak asasi manusia dan Palang Merah untuk campur tangan bagi menghentikan perbuatan biadab Israel, yang sekali gus mengganggu kelancaran kemudahan kesihatan pada waktu genting.
Sementara itu, rejim Zionis telah memberitahu 47 Pihak Berkuasa Tempatan bahawa bekalan elektrik akan diputuskan di kawasan mereka.
Sebelum ini, negara tidak diiktiraf itu telah memutuskan bekalan elektrik di beberapa bandar termasuk Tafooh dan Bani Naim di Hebron serta Jenin.
Tindakan itu mengakibatkan gangguan kerja di pusat kesihatan yang digunakan untuk menguji dan merawat pesakit COVID-19.
Selain itu, Datuk Bandar Yaabad di Jenin berkata, rejim Zionis memberi alasan pemotongan bekalan elektrik di kawasan itu disebabkan bil yang masih belum dibayar.
Bagaimanapun, Datuk Bandar menyangkal tuduhan itu, sambil berkata bahawa majlis perbandaran memiliki semua dokumen rasmi, yang membuktikan segala bil telah dijelaskan. -Agensi