Berita Utama

Tun M syor PRU15 selepas musim banjir

GTA belum tetapkan calon yang bertanding pilihan raya

PUTRAJAYA, 26 Safar 1444H, Jumaat – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan selepas musim banjir bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini terhadap pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dan suai kenal bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini hari ini, Dr Mahathir berkata selain ” kira faktor keselamatan, bencana banjir juga menyukarkan pergerakan pengundi.

  1. “Masa yang sesuai ialah waktu tenang bukan sewaktu bencana, tidak berlaku banjir atau angin kencang. Kalau musim banjir bukan sahaja sukarkan pergerakan malah mungkin mendatangkan musibah seperti kecederaan atau kematian.

“Sebab itu waktu banjir tidak sesuai untuk adakan pilihan raya,” katanya ketika ditanya tarikh yang sesuai untuk pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Beliau berkata, setiap parti yang bertanding juga dapat membuat persediaan rapi sekiranya PRU15 diadakan bukan ketika musim banjir.

Dalam pada itu, beliau berkata Gerakan Tanah Air (GTA) masih belum menetapkan calon yang akan mewakili gerakan itu pada PRU15.

Ditanya perkembangan pendaftaran GTA, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja GTA berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) akan memberikan maklum balas dalam tempoh sebulan dari tarikh penyerahan permohonan logo serta pendaftaran gerakan itu.

Pada 6 September lepas, jawatankuasa penaja GTA telah bertemu Ketua Pengarah RoS Mohd Nawardi Saad bagi menyerahkan dokumen berkaitan serta berbincang berhubung pendaftaran itu.

GTA ditubuhkan pada 4 Ogos lepas, disertai empat parti iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman). – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button