Berita Utama

Hagia Sophia: Serlah ketegasan Erdogan tangani isu dalaman

Keputusan gembirakan umat Islam meskipun dikritik dunia

BANGI, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Walaupun keputusan menukar kembali tapak bersejarah Hagia Sophia kepada masjid bakal mengundang kritikan dunia terutama Russia dan Kesatuan Eropah (EU), Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan tetap bertegas dengan urusan dalaman negara itu.

Mengagumi usaha kerajaan Erdogan mengembalikan hak tapak bersejarah berkenaan, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin menyifatkan, perjuangan mendapatkan kembali status Hagia Sophia sebagai sebuah masjid mengambil masa yang panjang, bahkan mencabar. 

Beliau berkata, hasil usaha Erdogan mengembalikan status Hagia Sophia setelah hampir 86 tahun dijadikan muzium, pastinya menjadi berita gembira bagi umat Islam Turki dan dunia antarabangsa. 

“Hagia Sophia dijadikan masjid selepas kota Konstantinopal dibuka oleh Sultan Muhammad al Fateh pada 1453 dan sah berdasarkan undang-undang di zaman tersebut. 

“Hagia Sophia telah diimarahkan sebagai sebuah masjid selama ratusan tahun di zaman Uthmaniyyah sehingga khalifah jatuh dan Mustafa Kemal Atarturk mengubahnya menjadi sebuah muzium pada 27 November 1934 (hampir 86 tahun),” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Dr Zainur Rashid berkata, usaha Erdogan dan kerajaan Turki telah membawa khabar gembira buat umat Islam negara itu selepas Mahkamah Tinggi memutuskan status Hagia Sophia dan membenarkannya digunakan sebagai masjid mulai 15 Julai ini.

“Apa tidaknya, perjuangan untuk mendapatkan kembali status Hagia Sophia sebagai sebuah masjid ini sahaja mengambil masa yang panjang dan perjalanannya pun berliku. 

“Perjalanan ini masih panjang dan berliku, mungkin merentasi beberapa generasi. Bersungguh-sungguh dalam membuat persiapan dan sentiasa bernafas panjang,” katanya.

Mahkamah Tinggi Turki memutuskan bahawa Hagia Sophia secara rasmi didaftarkan sebagai masjid, selain menegaskan penggunaannya untuk sebarang tujuan lain selain masjid adalah tidak sah. 

Menurut mahkamah, keputusan Kabinet pada tahun 1934 yang mengakhiri fungsinya sebagai masjid dan menukarkan kepada muzium adalah tidak mematuhi undang-undang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button