Pendapat

Jawi kembalikan kegemilangan tamadun Melayu Islam di Malaysia

Bangsa lain jangan cemas kebebasan dilindungi Perlembagaan

1. KEPUTUSAN kerajaan menjadikan hari Jumaat sebagai Hari Jawi bagi memartabat dan memperkasakan kembali khazanah Melayu yang membentuk identiti negara kita merupakan satu langkah kehadapan yang telah lama dinanti umat Melayu Islam di Malaysia

2. Kabinet sebulat suara dan sepakat di atas keputusan ini mengikut pengumuman yang dibuat Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Ia juga bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan dalam seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967

3. Tulisan Jawi merupakan elemen pengikat yang amat kuat antara bangsa Melayu dan agama Islam sejak zaman berzaman. Bahasa Melayu yang ditulis menggunakan tulisan Jawi merupakan adunan cantik antara kehebatan tamadun Melayu lampau dengan ketinggian agama Islam yang dibawa oleh para pedagang Arab ke Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

4. Menurut sejarah, orang Melayu kuno menggunakan tulisan Pallawa, Kavya, Lampung, Pasemah, Rencong dan lain-lain sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-7. Ini terbukti dengan penemuan Batu Bersurat Acheh bertarikh 1380M yang ditulis menggunakan tulisan Pallawa.

5. Sebaik sahaja Islam datang, orang Melayu berasimilasi dengan pedagang Arab yang berbahasa Arab lantas menggunakan tulisan Jawi yang amat mirip tulisan Bahasa Arab

6. Malah, kesungguhan dan kreativiti mereka terbukti dengan mencipta lima huruf baharu yang tidak ada dalam abjad bahasa Arab iaitu cha, nga, pa, ga dan nya. Ini bertujuan untuk menulis lima bunyi yang dituturkan oleh lidah orang Melayu, tapi tidak oleh orang Arab.

7. Tulisan Jawi turut menjadikan lidah orang Melayu lembut membaca al-Quran dan berpotensi fasih dalam Bahasa Arab sebagai bahasa pengantara al-Quran, hadith Nabi SAW dan banyak khazanah serta ilmu ketamadunan Islam yang lampau.

8. Sungguh keputusan besar kerajaan hari ini merupakan titik mula kepada mengembalikan kita kepada sejarah kegemilangan dan identiti asal ketamadunan Melayu Islam di Malaysia.

9. Rasa gembira seluruh umat Melayu Islam di Malaysia tidak perlu disambut dengan kerisauan dan rasa cemas oleh bangsa lain kerana mereka tetap bebas menggunakan serta menghidupkan kesenian bahasa dan tulisan mereka seperti yang dilindungi Perlembagaan.

10. Seterusnya kita menanti tindakan dan keputusan tegas kerajaan untuk memperkasa dan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada sekolah-sekolah agama, tahfiz, madrasah serta pondok di suluruh negara yang menjadi pusat pengembangan ilmu Islam yang bakal melahirkan cendekiawan Melayu Islam yang holistik dan berdaya saing, -Insya-Allah

Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close