Artikel Khas

UCAPAN AMIR ISMA SEMPENA WACANA FALSAFAH KENEGARAAN

1. ALHAMDULILLAH, marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Ilahi atas nikmat hidayahNya serta dengan keizinanNya jua, dapat kita hadir dalam Wacana Falsafah Kenegaraan kali ini. Saya merasa sangat teruja dan beruntung dapat berada di tengah-tengah para pemikir, sarjana dan tokoh-tokoh masyarakat yang terus menerus memberikan sumbangan berharga bagi perkembangan pemikiran dan pembangunan ummah.

2. Saya disini bagi mewakili Amir Ikatan Muslimin Malaysia, Yang Berbahagia al-fadhil Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman yang tidak dapat hadir bersama kita pada wacana ini atas urusan kerja di luar negara. Beliau menyampaikan salamnya dan mendoakan agar wacana ini dapat membuka ufuk fikiran kita dan menimbulkan seribu-satu persoalan yang wajar kita selongkar dan rungkai bagi membentuk asas falsafah bernegara yang kukuh buat Malaysia.

MENGUNGKAP SEBAB NAK KAJI SEMULA FALSAFAH

Hadirin-hadirat yang dihormati sekalian,

3. Pada kesempatan yang bersejarah ini, saya ingin mengajukan satu persoalan yang sangat relevan dengan tema program kita hari ini, yaitu “Falsafah Kenegaraan”. Persoalan yang ingin saya sebutkan adalah Mengapa perlu dilakukan satu penelitian semula terhadap falsafah kenegaraan sedia ada? Dalam konteks Malaysia, kita melihat pelbagai perancangan dalam kerangka memaju dan memakmurkan negara seperti Rancangan Malaysia setiap 5 tahun, Belanjawan Negara tahunan, terkini dengan Malaysia Madaninya ditambah dengan perancangan pembangunan, adaptasi kebebasan dan hak asasi manusia giat dibahas dan dirumuskan di semua peringkat, di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat, Dewan Negara dan lain-lain tempat.

4. Ke manakah halatuju negara ini dengan perancangan-perancangan tersebut? Adakah semua perancangan ini membawa kepada pembinaan negara dan memberikan erti bagi kehidupan kita, atau ia hanya alat bagi memenuhi “kehendak pihak tertentu”, yang tidak beriman dengan etos dan identiti kita sebagai warga nusantara?

5. Kerana persoalan inilah, kita semua berada di sini hari ini. Dalam menghadapi perubahan zaman yang pantas dan kompleks, kita perlu melakukan peninjauan kembali terhadap falsafah kenegaraan yang ada. Jika tajuk ini tidak dikaji dan diwacanakan sekarang, naratif kenegaraan kita akan dipandu dan dimanipulasi oleh golongan lain yang berkepentingan. Pada ketika itu, kita akan menjadi hamba, yang menjayakan agenda dan projek pihak lain, di tanah air sendiri.

MEMANDU KEPADA EPISTIMOLOGI ILMU SEBAGAI JALAN MULA

6. Falsafah kenegaraan secara keseluruhannya perlu dilihat berdasarkan perspektif epistemologi ilmu. Definisi, falsafah serta tasawur kenegaraan mesti diungkap semula supaya menzahirkan kefahaman epistemologi ilmu yang bersepadu. Ini adalah satu usaha untuk mengungkap semula praktis bernegara berdasarkan epistemologi yang menepati kehendak Islam.

7. Saya membayangkan usaha ini akan menjadi landasan kepada sebuah model baru bernegara, yang menzahirkan falsafah serta ajaran Islam itu sendiri serta kuat dan mampu untuk memimpin realiti era baharu.

8. Model Kenegaraan Islam ini membawa kita kepada pencarian untuk mengetahui rupa bentuk sebuah cadangan alternatif yang lebih kuat dan lestari berbanding sistem yang ada sekarang. Model ini mesti mampu mengungkap suatu naratif baru tentang kenegaraan seterusnya peradaban, kerana apa yang sedia ada pada hari ini telah terbukti gagal dalam menjelmakan ciri ubudiyah, kemakmuran bumi dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

MENYAMPAIKAN GAMBARAN IMPIAN

9. Kita dapat membayangkan satu natijah yang cukup jelas daripada usaha membangun falsafah kenegaraan ini seperti naratif berikut:

i. Di atas falsafah ini, akan terbit atau terbinanya satu kerangka pemikiran (manhaj atau nizam fikri) yang tersendiri yang membawa kepada insan yang sejati.
ii. Insan ini bebas daripada segala kongkongan dan penindasan Taghut, hidup sebagai hamba Allah dan sebagai khalifah di atas muka bumi.
iii. Kumpulan manusia ini akan melahirkan sistem-sistem yang mencorak dan mengatur kehidupan dalam segenap aspeknya, secara sempurna. Potensi manusia yang maksimum akan terserlah.
iv. Akan terhasil dari ini, produk-produk kehidupan manusia seperti penciptaan teknologi, pembangunan material, penghasilan seni kreativiti dll dalam lingkung falsafah bernegara baharu ini.
v. Negara yang kuat, maju dan berdaulat dapat dibina, seterusnya membuka laluan membangun sebuah peradaban, iaitu kemuncak pencapaian usaha manusia untuk membangunkan kesempurnaan, demi merealisasikan aspirasinya bagi mengecap kebahagiaan di dunia dan akhirat.

PENUTUP

10. Akhir kata, saya mengharapkan agar wacana ini dapat berjalan dengan segar dan hangat, diisi dengan buah fikiran para sarjana, cendekiawan, pengamal di medan dan tokoh-tokoh masyarakat dengan dipandu oleh pembentangan dari tokoh-tokoh hebat dari pelbagai latar belakang, yang telah mendalami perkara-perkara yang saya sebutkan diatas. Saya percaya kita akan mampu menerbitkan sinar cahaya pertama ke arah membina negara unggul yang kita impikan.

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button