Berita Utama

Yayasan Ikhlas, BPMB serah 17,500 set PPE kepada Sabah, Sarawak

Usaha bantu kerajaan bendung wabak COVID-19 di 2 negeri terbabit

BANGI, 19 Zulkaedah 1441H, Sabtu – Yayasan Ikhlas dengan kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) telah menyerahkan 5,000 set alat perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, set berkenaan akan diserahkan kepada fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah seliaan jabatan kesihatan negeri. 

Majlis Penyerahan Set PPE telah disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi, semalam.

“Penyerahan ini adalah dalam usaha membantu kerajaan membendung wabak COVID-19 di Sabah dan Sarawak. 

“BPMB telah memperuntukkan sumbangan bagi menghasilkan 17,500 sut PPE di mana 5,000 set diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan 12,500 set diserahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN Sarawak).

“Usaha ini dibuat atas perbincangan dengan JKNS dan JPBN Sarawak atas keperluan yang mendesak bagi alat perlindungan diri (PPE) secara berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan anggota kesihatan barisan hadapan yang terlibat dengan aktiviti-aktiviti pengurusan wabak di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penyerahan 12,500 set PPE ke Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak akan dibuat pada pertengahan Julai.

Dalam perkembangan lain, Yayasan Ikhlas turut menyalurkan sumbangan kepada lebih 5,000 keluarga asnaf yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung bermula 18 Mac 2020 sehingga Jun lalu. 

Bantuan berbentuk makanan dan keperluan asas turut disalurkan kepada golongan ini, katanya.

“Jumlah keseluruhan sumbangan yang telah disampaikan sepanjang bencana COVID-19 sehingga hari ini adalah sebanyak RM1.74 juta. 

“Pihak Yayasan Ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah menjayakan usaha murni ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button