Berita UtamaDunia

UK, Kanada dan Australia sepakat gesa Israel tarik balik bina penempatan haram

Pertahan hak penduduk Palestin jalani hidup secara aman, tanpa rasa takut

LONDON, 13 Zulhijjah 1444H, Ahad – United Kingdom (UK), Kanada dan Australia menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keputusan negara haram, Israel berhubung keputusan untuk membina penempatan di Tebing Barat.

Malah, ketiga-tiga negara itu menggesa supaya Tel Aviv menarik balik keputusan berkenaan demi kepentingan semua pihak.

Menteri-menteri Luar Negara berkenaan dalam kenyataan memaklumkan, tindakan menambah penempatan haram untuk peneroka akan menghalang keamanan selain memberi kesan kepada usaha penyelesaian kedua-dua negara.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya semua bentuk keganasan terhadap orang awam dan menggesa pihak berkuasa memastikan akauntabiliti terhadap semua keganasan.

“Keganasan di Israel dan Tebing Barat mesti dihentikan, Australia, Kanada dan UK berdiri teguh kepada rakyat untuk mempertahankan hak penduduk Palestin untuk menjalani kehidupan secara aman, tanpa rasa takut dan dengan hak asasi mereka dihormati sepenuhnya,” katanya.

Dalam kenyataan, mereka mengulangi untuk terus menyokong keamanan yang komprehensif, adil dan berkekalan di rantau ini, termasuk penubuhan negara Palestin supaya penduduk dapat menjalani kehidupan dalam aman dan keselamatan dengan Israel.

Bagaimanapun, kenyataan berkenaan menegaskan kejayaan itu hanya boleh dicapai melalui rundingan terus antara dua pihak.

Sepanyol juga senada untuk menolak tindakan Israel membina penempatan Yahudi di Tebing Barat dan mengutuk keganasan sambil menyebut keputusan Tel Aviv bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Malah, perbuatan berkenaan secara jelas menghalang keamanan.

Selasa lalu, Israel meluluskan lebih 5,700 unit penempatan baharu di Tebing Barat sekali gus meningkatkan jumlah penempatan bagi tahun ini melebih 13,000 unit penempatan.

Pengumuman penambahan penempatan baharu itu telah mencetuskan kritikan secara terbuka daripada masyarakat antarabangsa termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB).

Agensi itu menganggap aktiviti penempatan Israel menyalahi undang-undang dan menegaskan ia menjejaskan rangka kerja penyelesaian dua negara yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. – Agensi

Pautan berkaitan:
https://ismaweb.net/2023/06/27/5700-unit-penempatan-haram-tambahan-bakal-dibina-di-tebing-barat/

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button