Berita Utama

Agong zahir rasa bangga, ucap tahniah kepada Dr Masliza

Dr Masliza telah harumkan nama negara di persada dunia

KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Dr Masliza Mahmod susulan pelantikannya sebagai Profesor Madya bagi Perubatan Kardiovaskular di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) baru-baru ini.

Istana Negara dalam satu hantaran menerusi Instagram berkata Seri Paduka turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan Dr Masliza yang melakar sejarah sebagai wanita pertama Malaysia dilantik ke jawatan itu di universiti yang berprestij.

“Al-Sultan Abdullah turut berbangga kerana kejayaan Dr Masliza yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan harapan semoga pencapaian dan ketabahan Dr Masliza menjadi sumber inspirasi dan teladan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada dunia,” demikian menurut hantaran itu.

Seri Paduka turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Dr Masliza dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dalam bidang kardiologi dan sebagai seorang pakar kardiologi yang ulung di dunia.

Dr Masliza, 47, dari Batu Pahat, Johor, kini menganggotai Jawatankuasa Pemandu Pasukan Petugas Penyelidikan Kegagalan Jantung British Society of Cardiovascular Magnetic Resonance (BSCMR).

Ahli Royal College of Physicians (MRCP), UK itu memiliki Ijazah Sarjana Perubatan Dalaman (MMed) dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan (MBChB) daripada Universiti Otago, New Zealand. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button