COVID-19: 1 kluster baharu dikesan di Sarawak
Setakat ini terdapat 2 kes positif direkodkan daripada kluster itu
KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesan satu kluster baharu penularan COVID-19 di Sarawak membabitkan sebuah syarikat kejuruteraan di Kuching yang dinamakan sebagai Kluster Kejuruteraan Kuching.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham berkata, setakat ini, terdapat dua kes positif direkodkan daripada kluster itu dengan kes pertama dikesan, Khamis lalu.
“Kes pertama kluster ini (kes ke-8694), adalah seorang pekerja di syarikat tersebut yang telah mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 9 Julai apabila beliau mengalami gejala pernafasan. Kemudian beliau didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.
“Setakat ini seramai 32 kontak rapat telah dikenal pasti dan disaring. Mereka terdiri daripada 16 rakan sekerja dan 16 ahli keluarga,” katanya.
Jelasnya, hasil aktiviti saringan, sebanyak satu kes dikesan positif COVID-19; 16 negatif dan 15 lagi masih menunggu keputusan. – Bernama