Berita Utama

Hagia Sophia: Robohnya status sekular Istanbul kepada Islamik

Perubahan status beri makna martabat kembali kegemilangan Islam

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Keputusan menukar kembali tapak bersejarah Hagia Sophia – satu daripada keajaiban seni bina dunia – kepada masjid disifatkan sebagai permulaan kepada perjalanan ke arah kemenangan umat Islam yang panjang lagi berliku.

Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, biarpun Hagia Sophia berubah statusnya kembali menjadi masjid, ia akan kekal sebagai bangunan bersejarah yang boleh dilawati oleh semua pelawat muslim dan bukan muslim dari segenap pelusuk dunia.

Katanya, bagi masyarakat Turki dan umat Islam antarabangsa, perubahan status ini memberikan makna sangat besar bagi memartabatkan kembali kegemilangan Islam di peringkat global sebagaimana di zaman Uthmaniyah.

“Secara simbolik, ia akan mengubah status Istanbul daripada ibu kota yang sekular kepada sebuah ibu kota yang ‘Islamik’ sebagaimana nama asal kota ini iaitu ‘Islambol’,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Setelah berpuluh tahun Hagia Sophia dijadikan sebagai muzium, akhirnya tapak bersejarah di Istanbul itu akan kembali dibuka menjadi masjid.

Perkara itu diumumkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jumaat setelah mahkamah pentadbiran tertinggi membatalkan keputusan pemerintah 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium.

Pembatalan keputusan Kabinet Turki pada 1934 yang menjadikan Hagia Sophia sebagai muzium, diputuskan Majlis Negara iaitu mahkamah pentadbiran tertinggi Turki, selepas turut mengambil kira monumen itu yang didaftarkan sebagai masjid dalam daftar hartanahnya.

Keputusan berkenaan menimbulkan ketegangan bukan hanya dengan Barat dan Greece, bahkan Russia yang mana Erdogan dilihat menjalin kerjasama erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Greece dilapor mengutuk tindakan Turki yang majoriti penduduknya Islam sebagai satu provokasi, sementara Amerika Syarikat (AS) menyatakan kekecewaannya.

Gereja Ortodok Russia pula menyifatkan rayuan penganut Kristian supaya perkara itu ditangani dengan berhati-hati telah diabaikan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close