Berita Utama

Kenyataan terbaru KPN tak bertanggungjawab: Peguam Adib

Tolak cadangan pasukan kajian semula, PDRM tak faham kes

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim kesal dengan fakta dikeluarkan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 10 Julai lalu yang didakwa jelas tidak menghormati dan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

Menerusi kenyataan bersama, barisan peguam keluarga Muhammad Adib berkata, adalah tidak adil untuk KPN merumuskan kononnya tiada keterangan yang dapat mengaitkan Muhammad Adib dibunuh hanya kerana dua pegawai bomba yang bersama mangsa pada malam kejadian mengatakan tidak nampak apa yang berlaku.

Lebih lagi tidak munasabah untuk KPN cuba menggambarkan kononnya Muhammad Adib tidak diserang kerana tiada kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuhnya, kata mereka.

“Dakwaan-dakwaan ini sudah pun dijawab dengan jelas di dalam inkues dan tindakan KPN menimbulkan semula perkara ini menunjukkan PDRM tidak meneliti dan tidak faham kronologi kejadian kes ini berdasarkan keterangan-keterangan dan bukti-bukti yang ada.

“Seperti yang telah diterangkan oleh Mahkamah Koroner di dalam keputusannya yang mendalam lagi terperinci, ketika Muhammad Adib ditarik dan diserang, beliau telah pun berada dalam keadaan separa sedar akibat kecederaan dalaman, iaitu hentakan kuat yang mematahkan tulang rusuknya.

“Justeru, dalam keadaan separa sedar tersebut, sudah tentu mustahil untuk arwah mempertahankan dirinya ketika beliau ditarik dan diserang, sekali gus menjelaskan mengapa tiadanya sebarang kesan kecederaan mempertahankan diri pada tubuh badannya,” kata mereka, hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan barisan peguam mewakili keluarga anggota bomba berkenaan iaitu Mohd Kamaruzaman A Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Syazlin Mansor, Mohd Zubir Embong, Mohd Tajuddin Abd Razak, Ahmad Lutfi Awang, Mohammed Zamri Ibrahim dan Yahaya Othman.

Mengulas lanjut, mereka berkata, bagi kecederaan ditarik pula, terdapat kesan luka sepanjang 15 sentimeter pada pinggang arwah, yang konsisten dengan kesan ditarik dan tiga butang jaket celoreng bomba arwah yang terputus.

Barisan peguam berkata, keterangan dari tiga orang saksi utama berbangsa India juga menyatakan bahawa ada yang melihat aksi-aksi dan gerakan-gerakan seperti memukul, menendang dan memijak oleh sekumpulan 20 hingga 30 orang lelaki yang sedang mengerumuni Muhammad Adib, di samping mendengar ayat-ayat dalam bahasa Tamil seperti “Bodoh, bomba pun mau pukul ke?” “Jangan pukul!” dan “Berani kamu Melayu masuk kawasan sini”.

Katanya, seorang daripada saksi utama juga telah melakonkan semula bagaimana bahunya telah disepak pada waktu beliau secara kebetulan terjatuh atas tubuh Muhammad Adib.

“Sekiranya beliau tidak terjatuh atas tubuh Muhammad Adib pada ketika itu, sudah tentu sepakan itu mengenai badan Muhammad Adib. Perlu ditekankan di sini bahawa Mahkamah Koroner telah pun memberikan dapatannya tentang punca dan sebab kematian arwah Muhammad Adib.

“Memandangkan keputusan itu tidak pernah dicabar oleh mana-mana pihak melalui proses rayuan atau semakan yang sah, maka ianya adalah kewajipan pihak polis untuk menjuruskan siasatan bagi mencari siapakah dia ‘dua atau lebih orang’ yang menyebabkan kematian arwah Adib.

“..dan bukannya mempersoalkan semula punca kematiannya lagi sama ada dibunuh atau tidak, sebab hal tersebut telah pun selesai diputuskan mahkamah,” tegas mereka.

Justeru, barisan peguam tegas menolak sebarang keperluan untuk siasatan semula punca kematian kononnya melalui satu ‘pasukan kajian semula’.

Katanya, cubaan KPN untuk menidakkan kewujudan ‘dying declaration’ dan menuduh kononnya ia baru ditimbulkan sekarang, serta mempersoalkan pula seolah-olah ianya diada-adakan, adalah satu lagi kenyataan tidak bertanggungjawab.

“‘Dying declaration’ tersebut telah pun dikemukakan sebagai ekshibit I 31, di mana ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), pada 12 Disember 2018, Muhammad Adib ada memberikan keterangannya kepada Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya.

“‘Dying declaration’ arwah juga diberikan kepada staf IJN pada waktu dan hari yang lain, yang mana staf IJN tersebut telah dipanggil menjadi saksi di dalam prosiding inkues. Kedua-dua ‘dying declaration’ ini mengesahkan dirinya telah ditarik keluar dari van EMRS, dan kemudian dipukul,” katanya.

Selain itu, kata mereka, IJN tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kononnya Muhammad Adib tidak dapat berkomunikasi dengan efektif sepanjang dirawat.

“Bahkan hakikatnya bapa arwah Muhammad Adib dan keluarga yang lain berada di IJN sepanjang tempoh masa beliau dirawat, dan mereka mengesahkan bahawa terdapat satu peringkat di mana arwah menunjukkan peningkatan kesihatan yang baik, serta dapat berkomunikasi dengan baik.

“Malah apabila ahli keluarganya datang melawat, Muhammad Adib sendiri dapat bertanya khabar, serta pernah meminta kebenaran staf IJN untuk menonton perlawanan bola sepak,” katanya.

Barisan peguam turut menyifatkan, adalah amat mengecewakan kerana kenyataan media KPN untuk menerangkan perkembangan siasatan pembunuh Muhammad Adib, ternyata hanya mendedahkan kejahilan KPN dan PDRM terhadap fakta terperinci kes itu.

“Sekiranya KPN membaca Nota Keterangan, Alasan Penghakiman penuh dan meneliti semula semua Ekshibit Mahkamah, kami yakin KPN tidak akan mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab seperti yang telah diungkapkannya.

“Kami juga mempunyai maklumat bahawa dakwaan KPN kononnya PDRM telah memanggil sekali lagi semua 30 saksi inkues adalah tidak benar, kerana bapa arwah Muhammad Adib sendiri tidak pernah dipanggil semula dan terdapatnya saksi utama lain yang juga tidak dipanggil sehingga ke hari ini.

“Ini menunjukkan sikap tidak bersungguh-sungguh dalam menjalankan siasatan dan sebaliknya memberikan alasan kononnya telah menemui jalan buntu, berbohong kononnya telah ‘exhausted all means’, tanpa mengerahkan usaha yang sebenar-benar untuk mendapatkan keadilan untuk Adib,” kata mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close