Berita Utama

Mana MCA? Kenapa tak pertahan Jawi, Dr Zulkifli dari GERAKAN

‘Kerusi di Parlimen nak, pertahan identiti orang Melayu tak nak’

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Tindakan GERAKAN yang mengeluarkan kenyataan keras berkaitan langkah kerajaan memperkasa tulisan Jawi mendapat kecaman hebat dalam kalangan pelbagai pihak.

Terdahulu, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan, tindakan Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh mempelajari tulisan Jawi adalah satu kesilapan besar.

Haji Aminuddin yakin, tindakan itu pastinya akan menjarakkan lagi hubungan di antara parti berkenaan dengan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mereka berhasrat untuk jalinkan kerjasama.

Pada masa sama, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad menggesa, MCA untuk mempertahankan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkenaan pengumuman ‘Hari Jawi’.

“@MCAHQ perlu keluar kenyataan pertahan @drzul_albakri!.

“Kerusi orang Melayu nak, pertahan identiti orang Melayu tak nak,” kata Hazwan dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Dr Zulkifli berkata, bagi menzahirkan iltizam memartabatkan tulisan Jawi, kepala surat rasmi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menggunakan tulisan itu bagi urusan rasmi.

Beliau turut menyeru seluruh kementerian, jabatan, agensi di peringkat Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dalam usaha memelihara warisan negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button