Berita UtamaIstimewa

MCA, DAP perlu bantu promosi ‘Jumaat Hari Jawi’, jangan membisu

MCA, DAP dicabar nyata pendirian, kecam keceluparan GERAKAN

BANGI, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Parti GERAKAN disifatkan telah melakukan kesilapan besar selepas mengeluarkan kenyataan keras terhadap pelaksanaan Hari Jawi, baru-baru ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya yakin, tindakan itu pastinya akan menjarakkan lagi hubungan di antara parti berkenaan dengan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini mereka berhasrat untuk menjalinkan kerjasama.

“Kepada GERAKAN, anda telah membuat kesilapan yang sangat besar kerana baru sahaja kalian mengumumkan mahu bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya umum akan datang, tetapi kalian hanya mahu menjauhkan mereka kerana mereka pastinya tidak mahu terpalit sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden GERAKAN, Oh Tong Keong bertegas, mahu menentang habis-habisan jika orang bukan Islam disuruh untuk mempelajari tulisan Jawi.

Tong Keong berkata, Perlembagaan Malaysia dengan jelas menetapkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi negara.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin menggesa, MCA dan DAP untuk mengecam kenyataan GERAKAN yang berhasrat melakukan penentangan sekiranya orang bukan Islam diminta mempelajari tulisan Jawi.

Malah, katanya, kedua-dua parti berkenaan turut diminta untuk menyatakan sokongan terhadap inisiatif kerajaan yang menetapkan hari Jumaat sebagai Hari Jawi.

Katanya lagi, perkara berkenaan penting bagi parti-parti politik di negara ini untuk membentuk pandangan umum terhadap sesuatu perkara.

“Dalam kes ini, kita dapati ada banyak ‘komen-komen jahat’ terhadap inisiatif ini di portal-portal berita bahasa Mandarin.

“Itu merupakan segmen sasaran MCA dan DAP, maka mainkanlah peranan masing-masing untuk memberikan gambaran yang baik terhadap tulisan Jawi,” katanya.

Mengulas mengenai perkara sama, Haji Aminuddin berkata, MCA yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perlu menunaikan tanggungjawabnya untuk turut serta mengangkat inisiatif memartabat tulisan Jawi.

Beliau berkata, antara tanggungjawab yang perlu ditekankan parti itu adalah dengan menjadi agen pendidik segmen masyarakat Cina untuk tidak alergik terhadap warisan negara berkenaan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, DAP perlu membuktikan bahawa parti itu tidak menentang usaha berkenaan.

“Ini kerana menteri agama pada zaman pemerintahan PH (Pakatan Harapan) pun pernah melancarkan inisiatif sama, walaupun kita tidak nampak keserasiannya. Inilah masanya untuk buktikannya.

“Kita akan terus memantau apa yang parti-parti dan NGO-NGO Cina perkatakan di akhbar-akhbar Bahasa Mandarin, kerana kita sedar bahawa banyak yang tidak dilaporkan di akhbar arus perdana bahasa Melayu dan Inggeris mengenai kenyataan-kenyataan mereka terutamanya yang celupar,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close