Berita Utama

Penggiliran anggota ATM di sempadan sentiasa dilakukan

Penting untuk elak terjebak dengan kes jenayah, penyeludupan

KUALA LUMPUR, 20 Zulkaedah 1441H, Ahad – Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata penggiliran penugasan anggota pasukan ATM dalam kawalan operasi persempadanan di seluruh negara, sentiasa dilaksanakan.

Beliau berkata penggiliran ini penting untuk mengelakkan anggota ATM daripada terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah, penyeludupan atau bersekongkol dengan tekong.

“Atur gerak anggota di kawasan sempadan penting bagi memastikan operasi kawalan persempadanan yang kini dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai agensi penguatkuasaan dan keselamatan lain menerusi Op Benteng mencapai objektif disasarkan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Op Benteng diaktifkan sejak Mei 2020 di bawah Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia, PDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Kementerian Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia

Menurut Affendi, sebelum ini, operasi kawalan sempadan dilaksanakan secara service centric oleh setiap agensi, namun aspek pemantauan setiap operasi kini dipertingkat dan diperkemaskan terutama melibatkan atur gerak anggota yang terlibat secara langsung di kawasan-kawasan yang telah dipertanggungjawabkan.

“Ini juga bagi mengelakkan pasukan atau anggota terlibat menjadi familiar (biasa) dengan komuniti setempat di kawasan operasi, yang boleh menyebabkan mereka mungkin terleka atau terlalu selesa (complacent) dan seterusnya mempengaruhi mereka untuk bersekongkol dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang negara,” katanya.

Katanya, aspek pemantauan dalam setiap perkhidmatan ATM terutama melibatkan atur gerak anggota sentiasa ditekankan lebih-lebih lagi melibatkan penugasan kawalan operasi persempadanan.

“Bagaimanapun, dalam apa jua operasi yang dilaksanakan, ATM amat memandang serius dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang bersekongkol dengan sebarang aktiviti penyeludupan mahupun kegiatan jenayah lain,” tegas beliau sambil menambah ATM bertanggungjawab dalam memastikan kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

Sebelum ini dilaporkan beberapa anggota tentera dan polis antara individu yang ditahan kerana disyaki menyalah guna kuasa dan terlibat dalam aktiviti penyeludupan pendatang tanpa izin di sempadan Johor dan Sarawak, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya dilaporkan berkata tempoh penugasan pegawai dan anggota penguat kuasa polis di kawasan sempadan negara, akan dilaksanakan tidak melebihi lima tahun untuk mengelak salah guna kuasa. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close