Berita UtamaDunia

Afrika Selatan larang jual arak, kembalikan perintah berkurung

Perjumpaan sosial antara punca kes COVID-19 naik mendadak

JOHANNESBURG, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Afrika Selatan akan menguatkuasakan semula larangan penjualan dan pengedaran alkohol bagi mengurangkan jumlah pesakit trauma, sehingga hospital memiliki lebih banyak ruang untuk merawat pesakit COVID-19, kata Presiden Cyril Ramaphosa.

Berhadapan dengan kenaikan kemasukan ke hospital kerana wabak coronavirus, Afrika Selatan juga akan melaksanakan semula perintah berkurung pada waktu malam bagi mengurangkan kemalangan lalu lintas dan mewajibkan semua penduduk memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.

Dalam siaran televisyen pada Ahad, Ramaphosa berkata, pegawai kesihatan memberi peringatan kekurangan tempat tidur hospital dan bekalan oksigen ketika Afrika Selatan mencapai kemuncak kes COVID-19.

Katanya, sejak penjualan dan pengedaran alkohol diperkenalkan semula pada Jun, hospital mengalami lonjakan kemasukan di unit trauma dan kecemasan mereka.

Beliau turut mengecam rakyat yang terus mengadakan perjumpaan sosial termasuk pesta dan majlis pengebumian yang sesak, dengan mengatakan bahawa mereka memberikan sumbangan besar kepada penyebaran virus dengan cepat.

“Di tengah-tengah usaha negara kita untuk memerangi virus ini, ada sebilangan orang menganjurkan pesta yang ada minuman keras dan ada yang berjalan di tempat yang sesak tanpa pelitup muka,” katanya.

Afrika Selatan mengenakan salah satu perintah bekurung paling ketat di dunia pada bulan April dan Mei, termasuk menutup hampir semua lombong, kilang dan perniagaan serta larangan penjualan alkohol dan rokok.

Langkah-langkah itu melambatkan penyebaran coronavirus bagaimanapun ekonomi Afrika Selatan yang sudah dalam kemelesetan, menguncup secara mendadak, meningkatkan pengangguran di atas 30 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button