Al Jazeera mungkin guna hak kebebasan bersuara jika ‘ditekan’
Kerajaan perlu perbetul dakwan, beri penjelasan terbaik pada dunia
Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Agensi media antarabangsa, Al Jazeera didakwa akan memainkan isu kebebasan bersuara sekiranya mereka ‘ditekan’ kerajaan Malaysia, susulan menyiarkan fakta tidak benar melalui satu dokumentari mengenai cara negara mengendalikan pendatang tanpa izin dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Justeru, Pemerhati Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Isa Hamzah menyarankan kerajaan memberi penjelasan terbaik kepada masyarakat dunia sekali gus memperbetulkan dakwaan media antarabangsa itu.
“Isunya kerajaan kena tangani dan perbetulkan fakta pada temubual, itu yang paling bagus,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Ketika ditanya sama ada terdapat pihak yang ingin memburuk-burukkan negara mengenai cara Malaysia menangani penularan COVID-19, Dr Isa menyatakan beliau tidak pasti dengan perkara itu.
“Saya tidak pasti dan tidak berani nak komen tapi pada saya sentimen rakyat memang tidak suka akan laporan itu,” katanya.
Terdahulu, sebuah dokumentari disiarkan Al Jazeera bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa berlaku diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak COVID-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dokumentari itu sebagai mengelirukan, tanpa fakta jelas dan membuta-tuli.
Tegasnya, Al Jazeera perlu menghentikan siaran dokumentari berkenaan kerana ia tidak bersandarkan fakta yang tepat dan dilaporkan secara tidak beretika.
Jumaat lalu, enam kakitangan Al Jazeera bersama tujuh peguam sudah hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memberi keterangan.