Berita Utama

Biadab hina Jawi: Kerajaan patut laksana program elak kebencian

Berani perlekeh sebab tahu orang Melayu tak tahu bahasa mereka

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kerajaan disaran melaksanakan ‘Program Bagaimana Tidak Ungkap Ucapan Kebencian’ di kalangan warganegara Malaysia bagi membendung insiden penghinaan terus berulang.

Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, program berkenaan perlu diaplikasikan kepada semua peringkat umur untuk memberi kesedaran kepada mereka.

Bagaimanapun, program itu bukanlah satu jalan penyelesaian terhadap krisis antara kaum, sebaliknya hanya sebahagian dari proses pendidikan kewarganegaraan.

“Ini sebagai pendidikan awam. Dalam proses perpaduan negara, kita mesti mengingatkan warganegara mengenai etika sosial. Dan ini mesti dikaitkan dengan prinsip kelima Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

“Dalam erti kata lain, pendidikan awam mengenai Rukun Negara mestilah berterusan, terancang, diterangkan dalam konteks Sejarah serta amalan seharian dan interaksi warganegara melalui semua media, termasuk ruang-ruang awam dan billboard (papan iklan),” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan segelintir individu yang menggunakan media sosial untuk tujuan penghinaan. Terbaharu, terdapat netizen Cina yang memperlekeh Kempen Hari Jumaat Hari Jawi dengan mempersenda, kononnya mereka juga mahukan Hari Jumaat Hari Makan Babi.

Kebanyakan netizen Cina dengan biadab mengecam usaha Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, selain mendakwa pelaksanaan itu disokong kuat anggota Kabinet MCA.

Menyifatkan tindakan itu sebagai kurang ajar dan biadab, Prof Ahmad Murad yakin ‘mereka’ berani berkata demikian kerana kebanyakan orang Melayu tidak tahu berbahasa Cina.

Katanya, segelintir kaum Cina menggunakan bahasa Mandarin dalam media mereka termasuk media sosial, surat khabar malah di televisyen bagi membenci dan memandang serong terhadap bangsa Melayu.

“Orang Cina mempunyai ruang yang sempurna untuk mengamalkan ucapan kebencian dalam bahasa Cina kerana bangsa Melayu umumnya tidak boleh baca dan bercakap dalam Bahasa Cina.

“Ini juga menunjukkan sikap tidak iklas dan hormat kaum Cina terhadap orang Melayu. Mereka yang buat provokasi kebencian seperti ini boleh baca dan faham bahasa Melayu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close