Berita Utama

Buat kecoh, perlekeh Speaker, Khalid Samad dihalau keluar dewan

'Kerajaan pintu belakang, Speaker pun pintu belakang ke?

KUALA LUMPUR, 21 Zulkaedah 1441H, Isnin – Ekoran berkali-kali mengganggu ucapan sulung Speaker Dewan Rakyat baharu, Datuk Azhar Azizan Harun, Khalid Samad, hari ini diarahkan keluar dewan sehingga habis sesi persidangan.

Ahli Parlimen Shah Alam itu cuba untuk menganggu Sidang Dewan Rakyat dengan bercakap tanpa kebenaran dan memperlekehkan ucapan sulung Azhar.

Khalid yang kelihatan tidak berpuas hati dengan lantikan Azhar sebagai Speaker baharu, juga mempersoal siapa di sebalik agenda pertukaran Speaker.

“Kerajaan pintu belakang, Speaker pun pintu belakang ke?,” sindir Khalid

Berikutan tindakan itu, akhirnya beliau diarah keluar atas sebab beberapa kali enggan mematuhi peraturan persidangan.

“Shah Alam sila keluar dewan sehingga habis persidangan hari ini. 

“Sila keluar dewan. Siapa lagi nak keluar?,” tegas Speaker atau lebih dikenali sebagai Art Harun, lalu disusuli kekecohan Ahli Parlimen terutama dari kalangan pembangkang.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, memaklumkan pemilihan Azhar dibuat selepas hanya ada seorang calon dikemukakan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Azhar kemudian mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Namun, majlis angkat sumpah itu bertukar kecoh apabila wakil rakyat pembangkang berterusan mempersoalkan pelantikan Azhar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button